TEKNIK suntikan cuka digunakan bagi membasmi populasi tapak sulaiman mahkota berduri yang aktif membunuh terumbu karang di Pulau Tioman.
TEKNIK suntikan cuka digunakan bagi membasmi populasi tapak sulaiman mahkota berduri yang aktif membunuh terumbu karang di Pulau Tioman.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Hapuskan ancaman koloni tapak sulaiman mahkota berduri crown of thorns menggunakan kaedah suntikan cecair cuka di dalam laut.

Usaha itu dilakukan sekumpulan lapan penyelam anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memastikan khazanah terumbu karang tidak dimusnahkan hidupan laut berbisa itu.

Aktiviti itu antara pengisian Program Jiwa Murni sempena sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Dekad Platinum APM (70 tahun) Anjuran CDERT Yayasan Felda dirasmikan Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed di Pulau Tioman, Pahang.

Program itu dihadiri Penaung CDERT Yayasan Felda, Penolong Pesuruhjaya Kehormat APM, Datuk Mohd Banuri Aris, Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali dan Pengarah APM Pahang, Che Adam A Rahman.

Jurucakap APM berkata, melalui program pembersihan dasar laut, 30 penyelam APM terbabit dalam usaha menghapuskan spesis tapak sulaiman mahkota berduri yang menjadi ancaman kewujudan terumbu karang berusia puluhan tahun.

"Berbanding kaedah lama iaitu mengutip dan menanamnya di darat, anggota APM menggunakan kaedah menyuntik cecair cuka ke tubuh haiwan laut ini.

PESERTA yang mengambil bahagian pada Program Jiwa Murni sempena Sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Dekad Platinum APM (70 tahun) Anjuran CDERT Yayasan Felda.
PESERTA yang mengambil bahagian pada Program Jiwa Murni sempena Sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Dekad Platinum APM (70 tahun) Anjuran CDERT Yayasan Felda.

"Kaedah mengutip haiwan ini yang melekat pada terumbu karang boleh menyebabkan ia membiak kembali jika ada bahagiannya yang terputus," katanya.

Selain itu anggota APM menjalankan operasi menyelam bagi mengutip sisa sampah sarap di dasar laut,.

"Melalui program Dive Against Debris' AWARE Foundation ini, 100 kilogram (kg) sampah dikutip membabitkan tin, botol, besi, tayar basikal, logam dan pelbagai bahan buangan lain.

"Program ini membuktikan komitmen APM dalam menjaga alam sekitar sekali gus memberi impak kepada kitaran hidup, sumber makanan, pencemaran dan khazanah alam sekitar.

"Selain itu, 23 pegawai bersekutu dan anggota CDERT Yayasan Felda menjalani latihan asas menyelamat di air dan memperoleh lesen Open Water Diver (OWD) pada program sama," katanya.

Menurutnya, tidak dilupakan, APM menyantuni 30 keluarga asnaf di sekitar Kampung Genting dan Kampung Paya, Pulau Tioman dengan menyerahkan kotak makanan dan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:01 AM