TERUMBU karang semakin bertambah selepas program Hope Reef.
TERUMBU karang semakin bertambah selepas program Hope Reef.
Muhamaad Razis Ismail


PROGRAM pemulihan terumbu karang terbesar dunia, Hope Reef dilancarkan di pesisir pantai Sulawesi, Indonesia.

Ia antara inisiatif pengeluar makanan haiwan Mars, Incorporated menerusi jenamanya SHEBA.

Terumbu berkenaan dibina dengan membentuk ejaan perkataan 'HOPE' (harapan) di atas platform terumbu Salisi' Besar berdekatan Pulau Bontosua.

Sistem terumbu karang adalah hutan hujan tropika lautan dan menjadi rumah kepada satu perempat daripada hidupan laut.

Namun, ia kini semakin terancam disebabkan eksploitasi berlebihan, amalan perikanan yang salah, pencemaran dan perubahan iklim.

Saintis menganggarkan jika dunia tidak mengambil tindakan segera, 90 peratus terumbu karang tropika dunia akan lenyap menjelang 2043.

Keadaan ini boleh menjejaskan hampir 500 juta orang yang bergantung kepada khazanah lautan ini untuk makanan, pendapatan dan perlindungan pantai.

Dalam menangani kehilangan terumbu di seluruh dunia, Hope Reef diwujudkan untuk memulakan usaha pemulihan secara besar-besaran.

Menerusi bantuan kerajaan, universiti, perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mars, Incorporated memulakan program pemulihan batu karang Hope Reef pada 2019.

PERKATAAN ‘HOPE’ di atas platform terumbu Salisi’ Besar.
PERKATAAN ‘HOPE’ di atas platform terumbu Salisi’ Besar.

Program ini menggunakan struktur terumbu buatan tangan yang berbentuk bintang dikenali sebagai Mars Assisted Reef Restoration System (MARRS).

Bahan-bahan terumbu bintang ini diperoleh daripada sumber tempatan dan dibuat sendiri penduduk Bontosua.

Menjelang akhir 2029, SHEBA dan syarikat induknya berhasrat untuk memulihkan lebih daripada 185,000 meter persegi terumbu karang di seluruh dunia.

Pengarah Negara, Mars Pet Nutrition Malaysia, Wee Li Ying berharap menerusi program Hope Reef ini, dapat memberi kesedaran kepada ramai pihak kepentingan menjaga terumbu karang untuk ekosistem di laut.

"Kami gembira untuk melaporkan bahawa sejak projek Hope Reef dilaksanakan, liputan batu karang di sekitar pulau Bontosua meningkat daripada lima peratus kepada 55 peratus.

"Jumlah ikan juga bertambah sebanyak 300 peratus. Malah hidupan lain seperti ikan jerung dan penyu sudah kembali ke sini," katanya.

KOMUNITI pulau turut membantu Program Hope Reef.
KOMUNITI pulau turut membantu Program Hope Reef.

"Hope Reef adalah simbol harapan untuk masa depan bagi lautan kita dan permulaan kepada gerakan bagi memulihkan ekosistem yang sangat penting ini," katanya.

Menurutnya, pemilik haiwan peliharaan digalakkan menonton dan berkongsi The Film That Grows Coral di YouTube.

"Setiap tontonan membantu mengumpul dana untuk pemulihan terumbu melalui rakan kempen kami, The Nature Conservancy," katanya.

Beliau berkata, sempena Hari Lautan Sedunia, SHEBA turut melancarkan aplikasi iOS pertamanya yang memberikan pengalaman tiga dimensi (3D).

"Menerusi aplikasi ini, terumbu karang boleh diakses sesiapa sahaja, dari mana-mana lokasi dengan hanya muat turun aplikasi ini.

"Anda juga boleh memulihkan terumbu anda sendiri dengan memasang 'Reef Star' maya dan melihat bagaimana ruang itu bertukar daripada dataran tandus kepada persekitaran laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:16 AM