Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Kalau bab makan saya tak kisah kerana boleh dikatakan ada sahaja rezeki hari-hari dapat makanan percuma di sini.

"Cuma saya risau masalah kewangan kerana perlu membayar bilik sewa RM25 sehari," kata Saiful Bohari Salim, 43.

Saiful Bohari antara golongan kurang bernasib baik yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang menetap di sebuah bilik kecil di Lorong Haji Taib 1 di sini, sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurut Saiful Bohari, setiap hari dia mencari rezeki dengan berniaga jam dan pembesar suara bluetooth secara kecil-kecilan di lorong sekitar ibu negara dengan pendapatan tidak menentu.

"Kalau niaga daripada pagi sampai petang dapatlah RM100, tetapi pendapatan saya semakin teruk ketika Covid-19 tidak tentu RM30 atau RM50 kadang-kadang tak laku pun ada.

"Pernah juga saya tak dapat nak membayar sewa bilik, tetapi syukurlah tuan rumah baik hati dan memahami keadaan saya.

"Saya juga sangat berterima kasih kepada mereka yang prihatin kerana bantuan seperti ini amat membantu menjimatkan wang untuk membeli makanan saya dan isteri setiap hari," katanya yang turut menjaga dan menguruskan isterinya yang tidak berdaya akibat sakit kaki.

Lelaki itu yang berasal dari Klang, Selangor ditemui pada Program Agihan Makanan dan Menyantuni Golongan Memerlukan anjuran Pegawai Bersekutu Pasukan TindakBalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Yayasan Felda dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan Sempena Dekad Platinum APM ke-70 Tahun di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, di sini, hari ini.

Hadir mengagihkan bantuan makanan dan keperluan asas itu ialah Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Aminurrahim Mohamed; Penaung CDERT Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh.

Sementara itu, Mohd Banuri berkata, program turun padang menyantuni golongan memerlukan termasuk gelandangan dan mereka yang terjejas akibat Covid-19 itu adalah kesinambungan daripada program tanggungjawab sosial korporat untuk petugas barisan hadapan ketika pandemik.

"Ini program berterusan kita sejak 2020 yang mana setiap Isnin minggu pertama kita akan turun ke lokasi di seluruh Lembah Klang untuk membantu warga kota yang kurang bernasib baik, terjejas pandemik, gelandangan dan mereka yang ditimpa musibah.

"Dalam program hari ini, kita fokuskan memberi makanan yang dimasak secara bergotong royong sejak pagi sebelum diedarkan kepada 1,100 penerima di tujuh lokasi di ibu negara.

"Dana yang diperlukan untuk setiap kali program adalah antara RM6,000 hingga RM8,000, dan ia hasil kutipan dan komitmen sumbangan anggota kita yang cakna dalam membantu golongan memerlukan," katanya.

ANGGOTA APM bersama Yayasan FELDA menyampai sumbangan makanan kepada gelandangan. FOTO Hazreen Mohamad.
ANGGOTA APM bersama Yayasan FELDA menyampai sumbangan makanan kepada gelandangan. FOTO Hazreen Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:46 PM