PELBAGAI spesies hidupan laut mencari makanan di sekitar terumbu karang.
PELBAGAI spesies hidupan laut mencari makanan di sekitar terumbu karang.
TERUMBU karang yang diletakkan di tukun tiruan membiak dengan subur.
TERUMBU karang yang diletakkan di tukun tiruan membiak dengan subur.
MOHD Rawi (kiri) dan Metzner (kanan) melawat nurseri
MOHD Rawi (kiri) dan Metzner (kanan) melawat nurseri
MAJLIS pelepasan tukun tiruan di perairan Teluk Datai, Langkawi.
MAJLIS pelepasan tukun tiruan di perairan Teluk Datai, Langkawi.
TUKUN tiruan diletakkan di kawasan kedalaman tujuh meter di perairan Teluk Datai, Langkawi.
TUKUN tiruan diletakkan di kawasan kedalaman tujuh meter di perairan Teluk Datai, Langkawi.
Oleh Norul Awatif Romli

Menyaksikan kejayaan lima modul dalam menarik kehidupan marin di sekitar Teluk Datai, Langkawi menerusi projek perintis tahun lalu, The Andaman Luxury Collection Resort sekali lagi mewujudkan Modul Sistem Terumbu Tiruan (ARMS) Datai bersama syarikat Lafarge Malayan Cement Berhad (Lafarge Malaysia) secara besar-besaran.

Pada tahun ini, Lafarge Malaysia dan The Andaman menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi meneruskan hasrat murni itu dan meletak 52 terumbu tiruan dalam laut meliputi kawasan melebihi 1,000 meter persegi dengan tempoh matang dianggarkan selama 10 tahun.

Menerusi perjanjian itu, ia meningkatkan kerjasama akademik, latihan pekerja dan mahasiswa, promosi bersama dan lain-lainnya antara UMT dengan The Andaman.

Inisiatif projek ARMS bertujuan menggalakkan pertumbuhan semula terumbu karang pinggir yang wujud di sekitar Teluk Datai selama 8,000 tahun.

Difahamkan, hasrat murni itu diteruskan tahun ini berikutan masalah terumbu karang yang kian berkurangan akibat kejadian gempa bumi dan tsunami di Lautan Hindi pada 2004 selain peningkatan kandungan asid dalam air laut berpunca daripada peningkatan karbon dioksida.

Modul tukun yang direka khas itu boleh mewujudkan 'ruang persembunyian' maksimum kepada pelbagai spesies ikan selain dapat membantu mengekalkan ekosistem dasar laut.

Selain itu, fungsi tukun tiruan itu untuk memelihara biodiversiti spesies marin selain menggalakkan pergerakan ikan juvenile di kawasan air cetek supaya bergerak lebih jauh dari pesisir pantai, pembiakan ikan dan meningkatkan kemampanan industri perikanan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge Malaysia, Bradley Mulroney berkata, syarikat itu komited menjalankan kerjasama murni itu untuk komuniti di Pulau Langkawi yang memberi sokongan sejak kewujudan kilang berkenaan lebih 30 tahun lalu.

"Lafarge Malaysia bersama pekerja di Langkawi bangga dapat membina modul tukun yang menjadi sebahagian jalan penyelesaian kepada isu kemusnahan terumbu karang.

"Projek ARMS ini meningkatkan kemampanan industri perikanan yang membabitkan ramai anak tempatan kerana rata-rata penduduk bekerja sebagai nelayan untuk mencari rezeki, selain berusaha membantu sektor ekopelancongan sekali gus menjana pendapatan utama di pulau peranginan ini," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memenuhi komitmen membina bandar raya terunggul (Building Better Cities), pihaknya akan terus menyumbang kelengkapan bahan bagi memenuhi cabaran menyediakan pembangunan perbandaran yang mampan di seluruh dunia.

"Kami akan terus memperhalusi bahan digunakan dan reka bentuk ARMS bagi memastikan modul yang dilaksanakan dapat menarik lebih banyak ikan serta menyumbang kepada pembangunan mampan," katanya.

Difahamkan, reka bentuk inovatif modul tukun tiruan itu adalah ciptaan Perunding Biologi Marin di The Andaman, Dr Gerry Goeden dengan kerjasama seorang pakar ekologi terumbu dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ia dibuat khusus untuk memenuhi sifat unik terumbu karang sedia ada.

Menurut Dr Goeden, keadaan di Langkawi adalah berbeza dengan kejadian kemusnahan terumbu karang di negara lain kerana aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan menggunakan jaring turut menjadi punca utama kerosakan kebanyakan terumbu karang.

"Aktiviti menangkap ikan secara berlebihan di sekitar pulau ini menghalang pertumbuhan karang ini secara semula jadi dan apabila ikan tiada, ia akan mengubah makanan terumbu karang dan memberi ruang kepada rumpai laut.

"Berdasarkan kajian mendapati terumbu karang yang hidup di permukaan bumi ini kini mengalami kepupusan pada kadar satu peratus setiap tahun dan proses itu berlarutan sejak 40 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar The Andaman, Christian Metzner berkata, kebanyakan terumbu karang di sekitar pinggir laut berdekatan The Andaman mengalami kerosakan teruk akibat mempertahankan penghuni pulau dan harta benda daripada badai ombak tsunami kira-kira 10 tahun lalu.

"Terumbu karang adalah habitat dan tempat perlindungan untuk lebih 25 peratus spesies ikan di laut selain hampir dua juta hidupan marin malah menjadi nurseri bagi kebanyakan spesies marin sepanjang tempoh tumbesaran.

"Kita mempunyai peluang yang baik bukan saja untuk memperbaiki keadaan alam sekitar dan terumbu karang malah menyediakan aktiviti pendidikan, rekreasi dan penyelidikan," katanya.

Katanya, kaedah penggunaan tukun tiruan banyak dipraktikkan di negara lain di seluruh dunia dan inisiatif dilakukan di Pulau Langkawi adalah satu langkah penting bagi pemuliharaan marin di Asia Tenggara.

"Kami berharap kerjasama dengan Lafarge Malaysia dan The Andaman ini dapat menyediakan penyelesaian bagi menangani krisis global," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yakin dengan kerjasama syarikat korporat, usaha untuk memulihara terumbu karang di perairan Langkawi akan berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:07 AM