ANGGOTA APM mengadakan Program Pembersihan Dasar Laut di Pulau Redang. Gambar kecil, tapak sulaiman mahkota berduri yang ditangkap.
ANGGOTA APM mengadakan Program Pembersihan Dasar Laut di Pulau Redang. Gambar kecil, tapak sulaiman mahkota berduri yang ditangkap.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SANGGUP keluar wang saku sendiri bagi menyertai operasi khas menyelam dan menangkap ratusan ekor tapak sulaiman mahkota berduri yang memusnahkan terumbu karang di dasar laut.

Itu antara usaha dilakukan 13 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menganjurkan Program Pembersihan Dasar Laut di Pulau Redang, Terengganu, bertujuan memelihara hidupan marin.

Program itu diketuai sendiri Penaung Kelab iaitu Kapten Aziana Hizazi yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur bersama 12 penyelam KPPAKL membabitkan Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA) Daerah Kuala Lumpur dan dua penyelam daripada Cawangan Taman Laut Malaysia, Pulau Redang.

Aziana Hizazi berkata, program bermula Jumaat lalu dianjurkan Kelab Pasukan Pertahanan Awam Kuala Lumpur (KPPAKL) sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat KPPAKL.

“Objektif pelaksanaan pembersihan dasar laut ini bertujuan membersihkan beberapa kawasan dasar laut daripada sampah sarap serta tapak sulaiman mahkota berduri (Crown of Thorns Starfish–COTS) atau nama saintifiknya Acanthaster Planci.


“Spesies ini adalah salah satu hidupan marin yang mendiami habitat terumbu karang. Ia memainkan peranan yang penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem terumbu karang bersama-sama spesies marin yang lain.

“Namun, oleh kerana berlakunya gangguan terhadap kesimbangan semula jadi ekosistem antaranya akibat pengambilan pemangsa COTS seperti siput triton sebagai koleksi perhiasan, ikan mameng Napoleon Wrasse sebagai makanan eksotik dan pencemaran nutrien di lautan menyebabkan bilangan populasi COTS semakin bertambah,” katanya.

Menurutnya, ia akhirnya mengakibatkan kemusnahan terumbu karang secara drastik akibat dimakan Tapak Sulaiman Mahkota Berduri.

“Program ini adalah usaha bersama Unit Taman Laut, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan PADI Project Aware.


“Pembiayaan program ini mendapat tajaan daripada Mejar Bersekutu (PA) Khamarul Arifin Zainal selaku Pengarah Urusan S A R Equipment & Training. Selain daripada itu, program ini juga mendapat tajaan daripada Pegawai Bersekutu APM WP serta sumbangan daripada peserta program sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali mengakui program itu dapat meningkatkan tahap kesedaran orang awam terhadap kepentingan terumbu karang yang menjadi tempat perlindungan dan pembiakan hidupan marin.

“Sebanyak 208 ekor tapak sulaiman mahkota berduri dikutip dan dilupuskan hasil aktiviti ini.

“Program sebegini wajar diadakan secara berterusan supaya biodiversiti marin terutama di perairan Pulau Redang terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:01 AM