FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

OPERASI pencarian seorang kru bot 'perdagangan barter' yang hilang di perairan Tanjung Segenting, semalam diperluas meliputi Tanjung Tohor, Pulau Sialu hingga ke Tanjung Laboh di Batu Pahat, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi membabitkan satu aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua bot APMM dan dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Bagaimanapun, setakat 12 tengah hari tadi, tiada penemuan atau sebarang petunjuk berkaitan mangsa kerana cuaca di lokasi pencarian hujan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi semalam, mangsa dikenali Sulaiman Ali, 20, bersama-sama dua lagi kru dan seorang tekong dalam pelayaran dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat membawa muatan kayu bakau.

Bagaimanapun, bot mereka dimasuki air akibat dipukul ribut dan mangsa bersama rakannya dilaporkan bertindak membuang muatan kayu bakau agi menyelamatkan bot daripada karam.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa berbuat demikian, sementara tiga lagi selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 5:34 PM