DERETAN 12 rumah kedai termasuk kedai kain milik Syeikh Muhammad Zainuddin musnah dalam kebakaran di Jalan Bandar, Kampung Cina. FOTO Ghazali Kori
DERETAN 12 rumah kedai termasuk kedai kain milik Syeikh Muhammad Zainuddin musnah dalam kebakaran di Jalan Bandar, Kampung Cina. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Kami hanya mampu berserah kepada Ilahi dan melihat kedai kain musnah sekelip mata," kata Syeikh Muhammad Zainuddin Thamizudeen, 32.

Kedai kain diasaskan abangnya di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini musnah 100 peratus dalam kebakaran semalam, yang turut menjejaskan 11 lagi premis.

Menurut Syeikh Muhammad Zainuddin, turut musnah dalam tragedi itu adalah wang tunai RM40,000 yang disimpan untuk membayar pembekal kain dan kegunaan lain.

Katanya, ketika itu juga mereka baru menerima stok kain bernilai RM20,000 yang dihantar pada 7.30 malam, kira-kira 45 minit sebelum kejadian.

"Semasa kejadian itu, saya berada di kawasan Pasar Kedai Payang, kira-kira 300 meter dari lokasi bersama adik.

"Kami segera ke lokasi dengan abang selepas dimaklum kejadian dan cuaca yang berangin ketika itu menyebabkan kedai musnah sekelip mata," katanya yang memberitahu sudah lapan tahun abangnya mengusahakan kedai kain di situ.

Menurutnya, dia dan adik-beradik yang lain sempat membantu abangnya memunggah stok kain baharu sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, mereka menganggarkan kerugian ditanggung berjumlah RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 12:41 PM