Noor Azmi Ghazali pada sidang media majlis ulang tahun ke 10 sedekad bersama Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Noor Azmi Ghazali pada sidang media majlis ulang tahun ke 10 sedekad bersama Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Masyarakat negara ini terdedah kepada risiko serangan strok atau angin ahmar kerana faktor kehidupan sosial dan persekitaran.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan data terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2020 kematian disebabkan strok di negara ini mencatat 21,592 kematian.

Menurutnya, kadar usia kematian pesakit adalah dalam lingkungan 82 tahun bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus meletakkan negara ini di kedudukan 92 di seluruh dunia.

"Mengikut data dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jumlah kemasukan ke hospital di negara ini akibat penyakit strok pada 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak 43,093 dengan purata kemasukan harian sebanyak 120 pesakit dan ini menunjukkan peningkatan lebih 10,000 pesakit pada 2018.

"Data terkini strok di negara ini juga menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pesakit muda terutama lelaki berusia pertengahan 30-an hingga 40-an," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di Auditorium HRC, di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pelbagai keadaan boleh meningkatkan risiko mendapat strok dan kebanyakannya kerana faktor risiko yang boleh diubah seperti tekanan darah tinggi.

Justeru katanya, masyarakat perlu mengambil berat setiap perubahan dialami dan tidak berlengah mendapatkan rawatan segera serta membudayakan gaya hidup sihat.

"Hasrat kerajaan adalah penduduk negara ini menjadi lebih sihat melalui pendekatan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

"Amalkan gaya hidup sihat, aktif menjaga kawalan diri membuat pemeriksaan berkala bagi mengelakkan penyakit boleh mendatangkan komplikasi seperti strok contohnya darah tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM juga dalam perancangan untuk menempatkan pakar di unit rehabilitasi di hospital seluruh negara dengan HRC menjadi pusat rujukan utama terutamanya untuk kes yang serius.

HRC ditubuhkan sejak 2012 mempunyai enam rawatan khusus yang dilengkapi kemudahan dan peralatan serba canggih bagi membantu pesakit mengembalikan fungsi optimum mereka.

Antaranya ialah kolam hidroterapi, gimnasium, klinik prothesis dan orthosis, simulasi pemanduan, bilik snoozelan, Lokomat serta bilik amali aktiviti harian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:01 PM