Norzamira Che Nor


Shah Alam: Tiga penjenayah yang melarikan kenderaan mewah dari sebuah rumah di Pulau Indah, Klang, kelmarin, berjaya diberkas polis kira-kira 10 jam selepas melakukan jenayah.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan sekitar jam 8.30 malam di Damansara selepas melakukan jenayah pada jam 10.15 pagi hari sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai banyak rekod jenayah.

"Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti sama ada suspek ada kaitan dengan mana-mana sindiket curi kenderaan," katanya selepas program townhall Polis Selangor di Dewan D'Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, tadi.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 14 saat memaparkan tiga suspek keluar dari rumah mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki Volkswagen Passat.

Berdasarkan CCTV itu juga, kereta mewah itu dipandu keluar dari pagar sebuah rumah sebelum mangsa iaitu seorang wanita mengejar dengan merakamkan kenderaannya.

Mengulas mengenai sesi `townhall' berkenaan, Arjunaidi berharap sesi bersama wakil penduduk yang dilaksanakan pihaknya itu dapat diadakan dengan lebih kerap selepas ini.

Katanya, sesi berkenaan penting supaya polis mampu membentuk hubungan dan jaringan komunikasi bersama masyarakat membabitkan agensi kerajaan lain.

"Pelbagai masalah dibangkitkan menerusi sesi `townhall' ini antaranya masalah sosial yang menimbulkan kebimbangan penduduk serta perkara yang berlaku di persekitaran mereka," katanya.

Arjunaidi pada sidang media. FOTO FAIZ ANUAR
Arjunaidi pada sidang media. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 4:39 PM