MAKALSOM menjaga serta menguruskan Wan Azman yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika ditemui di Kampung Kuala Besar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MAKALSOM menjaga serta menguruskan Wan Azman yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika ditemui di Kampung Kuala Besar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya terpaksa menyumbatkan tisu di lubang hidung suami akibat darah yang tidak henti mengalir," kata Makalsom Ismail, 62.

Makalsom berkata, suaminya, Wan Azman Wan Mohamad, 68, yang juga pesara wardar penjara Marang disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap empat sehingga merebak ke bahagian otak sejak Julai lalu.

Katanya, pada awalnya, suami mengalami pendarahan hidung berpanjangan selama sebulan dan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian bagi pemeriksaan lanjut dan disahkan dia menghidap kanser pangkal hidung tahap empat.

"Disebabkan penyakit dideritai suami berada pada tahap empat, dia dinasihatkan doktor supaya tidak menerima sebarang rawatan sama ada kimoterapi atau radioterapi berikutan risiko terlalu tinggi disebabkan keadaannya yang terlantar dan lemah.

"Kini kesihatan suami saya semakin teruk apabila rongga hidungnya terpaksa disumbat menggunakan tisu kerana jika tidak ditutup darah keluar dan tidak berhenti mengalir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Besar.

Terdahulu keluarga ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan dapur.

Makalsom berkata, lebih menyedihkan lagi, suaminya itu bukan saja terpaksa menanggung derita akibat penyakit kanser, malah turut lumpuh sebelah kiri badan berikutan serangan angin ahmar pada pertengahan April lalu disebabkan komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

"Sebelum ini suami saya pernah mengalami serangan angin ahmar yang pertama pada 2012 disusuli serangan kedua pada 2015 dan pertengahan April lalu dia mendapat serangan kali ketiga menyebabkannya terlantar.

"Suami saya kini hanya mampu menelan air kosong untuk mengalas perut. Sebelum ini saya pernah memberinya minum air susu dan roti namun dia tidak dapat menelannya bahkan lebih teruk akan muntah.

"Tatkala terpandang wajah suami, saya tidak dapat menahan sebak kerana keadaan fizikalnya hanya kelihatan kulit membalut tulang saja berbanding sebelum ini seorang yang berbadan besar," katanya.

Katanya, bagi menguruskan keperluan suaminya, dia membelanjakan RM700 sebulan untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan tisu.

"Mujurlah suami saya mendapat wang pencen yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung.

"Dalam masa sama, dua anak iaitu Che Muhammad Faizolni Che Mohd Noor, 30, dan Wan Muhammad Hakimi Wan Azman, 19, juga akan bergilir-gilir menjaga ayah mereka.

"Walau bagaimanapun, bagi memudahkan urusan penjagaan suami, saya memohon agar ada pihak yang sudi memberi katil boleh laras untuk keselesaannya," katanya.

Sementara itu, Nor Azizah berkata, pihaknya berharap sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur yang disumbangkan pertubuhan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

"Sepanjang tahun ini, sejumlah 800 keluarga sudah dibantu dan RM60,000 duit zakat diperolehi daripada pelbagai pihak sudah diagihkan kepada asnaf, anak yatim dan pesakit kronik," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu pasangan ini boleh berbuat demikian melalui Tabung Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 105280004378 atau Maybank di nombor 514271655386.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 11:34 AM