Mangsa banjir masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang. FOTO Ihsan APM
Mangsa banjir masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang. FOTO Ihsan APM
Oleh Safuri Kamarudin


Baling: Seramai 106 mangsa banjir membabitkan 31 keluarga masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 3 petang ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata 94 mangsa daripada 30 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.

Katanya, hanya 12 mangsa lagi daripada satu keluarga yang berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang berbanding semalam 34 keluarga.

"Mereka yang dibenarkan pulang dari Kampung Hangus apabila keadaan rumah mereka telah pulih," katanya.

Beliau berkata, mangsa di Kampung Padang Empang dan Iboi tidak dibenarkan pulang kerana keadaan masih tidak selamat.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu dan rumah mereka masih tidak selamat jadi semua mangsa tidak dibenarkan pulang.

"Mereka dinasihatkan tinggal di PPS sehingga keadaan pulih, bagaimanapun ada di antara mangsa pulang waktu siang untuk membersih rumah dan datang ke PPS semula untuk menginap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faizol berkata, data masuk dan keluar PPS akan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pemeriksaan kesihatan akan dikakukan oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa banjir di PPS sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya terhindar daripada penyakit berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 3:07 PM