NAJIB Tun Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Saali Badri
NAJIB Tun Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Saali Badri
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Seramai 18 individu, termasuk dua bekas menteri, lima Umno bahagian dan satu Barisan Nasional (BN) bahagian serta enam syarikat menerima wang yang kesemuanya berjumlah RM8.4 juta daripada Datuk Seri Najib Razak menerusi 38 transaksi pengeluaran cek di antara tahun 2011 dan 2012.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, antara 18 penerima individu cek terbabit adalah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem masing-masing berjumlah RM100,000, yang kesemuanya berjumlah RM2.1 juta.

Pada Julai 2020, mahkamah menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang RM100,000 daripada Kasitah yang dikatakan, wang hasil pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Sementara itu, Najib turut mengeluarkan cek yang dibayar kepada Umno Bahagian Pekan (RM300,000); Wanita Umno Bahagian Pekan (RM70,000); Wanita Umno Selangor (RM1.9 juta); Umno Selangor (RM2 juta) dan dan Umno Bahagian Machang (RM400,000) yang kesemuanya berjumlah RM4.7 juta serta BN Bahagian Bandar Tun Razak (RM200,000).

Bagi syarikat yang menerima cek daripada Najib pula ialah syarikat Qalif Umar Creative (RM130,000); Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM274,750); Gading Emas Management Services (RM50,000); Fanisa Consultancy And Services (RM95,000) dan Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000), yang keseluruhannya berjumlah RM1.428 juta.

Semua 38 transaksi berkenaan dinyatakan saksi ke-36 pendakwaan, iaitu Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad, Badrul Hisam Mohamad, 48.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Badrul Hisam mengesahkan transaksi cek terbabit direkodkan dalam penyata akaun peribadi AmIslamic Bank Najib dengan nombor berakhir 694.

"Saya dapat mengecam tandatangan milik Datuk Seri Najib Razak kerana semasa proses pengesahan cek dibuat, tandatangan beliau tertera di dalam Signature Database System (SDS) untuk tujuan perbandingan dan pengesahan.

"Saya juga mengesahkan cek ini dikeluarkan oleh AmBank Islamic berdasarkan kepada kod khas yang terdapat pada cek tersebut, iaitu kod '49' yang mana ia diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Saksi itu berkata demikian dalam keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:03 PM