Uma Devi saksi perbicaraan pertuduhan membabitkan dana SRC International. FOTO Aizuddin Saad
Uma Devi saksi perbicaraan pertuduhan membabitkan dana SRC International. FOTO Aizuddin Saad
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


PENGURUS Ambank cawangan Jalan Raja Chulan mengesahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa RM64 juta ada dimasukkan ke dalam akaun bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara 2014 hingga 2015.

Saksi ke-21, R Uma Devi berkata, berdasarkan penyata akaun, wang itu dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Ambank milik Najib yang mana RM37 juta adalah daripada syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Penyata akaun menunjukkan transaksi akaun bernombor 2112022011880 milik Najib dimasukkan wang berjumlah RM27 juta pada 8 Julai 2014. (Bagaimanapun saksi tidak memaklumkan daripada akaun milik siapa).

“Berdasarkan penyata akaun saya mengesahkan bahawa Ihsan Perdana ada memasukkan wang berjumlah RM27 juta dan RM10 juta masing-masing 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015,” katanya.

Ihsan Perdana ialah syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, Uma Devi mengesahkan pembukaan akaun semasa oleh SRC International Sdn Bhd di AmIslamic Bank pada 10 November 2011.

“Lima orang yang diberi kuasa untuk tandatangan adalah Datuk Ismee Ismail, Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Nik Faisal Ariff Kamil (Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) dan Datuk Suboh Md Yasin.

“Berdasarkan resolusi syarikat, ia dibahagi dua kumpulan iaitu, Ismee, Che Abdullah dan Shahrol Azral di dalam satu kumpulan, manakala Nik Faisal dan Suboh dalam satu kumpulan yang lain. Bagaimanapun kemudian ia berubah apabila Suboh berada di dalam kumpulan pertama,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Saksi juga ada mengesahkan bahawa SRC International Sdn Bhd ada memasukkan wang berjumlah RM50 juta ke dalam akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

“Saya mengesahkan terdapat surat arahan untuk tiga transaksi membabitkan wang berjumlah RM40 juta (24 Disember 2014), RM5 juta (5 Februari 2015) dan RM5 juta (6 Februari 2015).

“Gandingan Mentari turut melampirkan resolusi syarikat sebagai dokumen sokongan yang turut menyatakan Nik Faisal dan Suboh sebagai penandatangan sah untuk akaun itu,” katanya.

Uma Devi turut mengesahkan bahawa terdapat transaksi yang dibuat oleh Ambank atas arahan Nik Faisal iaitu pembayaran kad kredit berjumlah RM449,586.95 pada November 2014.

“Nik Faisal mengarahkan wang itu dipindah keluar daripada akaun Najib dan dikreditkan kepada kad kredit Visa Platinum.

“Selain itu terdapat pindahan wang RM2,833,147.21 dan dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum,” katanya

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Sementara itu, prosiding kes yang sepatutnya selesai pada jam 5 petang disambung sehingga jam 5.30 petang.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terdahulu memohon kepada mahkamah supaya prosiding selesai jam 5 petang kerana sudah kepenatan.

Bagaimanapun, Hakim Nazlan terus bertanya kepada saksi sama ada dia boleh terus memberi keterangan dan Uma Devi mengatakan boleh.

Uma Devi turut mengesahkan beberapa transaksi yang dibuat daripada akaun bank milik Najib atas arahan Nik Faisal antaranya kepada Vital Spire Sdn Bhd (RM240,000), RM2.5 juta kepada Zulqarnain & Co, RM300,000 kepada Centre Strategic Engagement (CENSE) dan RM100,000 kepada ABS Trend Master Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 11:14 PM