Roslina melihat Jalur Gemilang dipasang dihadapan rumahnya. FOTO NURALIAWATI SABRI
Roslina melihat Jalur Gemilang dipasang dihadapan rumahnya. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Jasin: Semangat Kemerdekaan bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Gapam Baru, di sini, tidak pernah luntur biarpun dua tahun tiada sebarang sambutan diadakan akibat Covid-19 yang melanda.

Keadaan itu dapat dilihat apabila, deretan Jalur Gemilang dipasang di kawasan kediaman penduduk di perkampungan itu.

Bagi penduduk Roslina Jagung, 40, berkata, disebabkan teruja untuk menyambut sambutan Kemerdekaan pada tahun ini, dia dan suami bersepakat memasang Jalur Gemilang di kawasan rumah lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

"Walaupun ada menerima beberapa Jalur Gemilang tetapi kami bersepakat kumpul duit untuk membeli lebih banyak lagi untuk dipasang di sekitar rumah tanda cinta kepada tanah air.

"Kami tidak kisah keluarkan duit, asalkan dapat menjiwai erti Kemerdekaan selain dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan penduduk yang lain selain sebagai tanda terima kasih kepada pejuang kemerdekaan," katanya.

Dia ditemui selepas Program Santuni Orang Kita Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka Dan WI Cawangan Ayer Molek, hari ini.

Ibu anak satu daripada suku Temuan itu berkata, suasana sambutan tahun ini kembali meriah apabila kembali dapat bersama-sama berkumpul di dewan untuk melaungkan Merdeka selepas dua tahun hanya berada di dalam rumah.

Seorang lagi masyarakat Orang Asli Hetty Fazurina Zamri, 16, berkata, suasana sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini mulai dirasai sejak awal Ogos lagi apabila Jalur Gemilang mula kelihatan dipasang sekitar kampung.

"Sambutan agak meriah apabila sana-sini dapat lihat Jalur Gemilang malah ada anak-anak kecil menyanyikan lagu 31 Ogos.

"Malah, pagi ini apabila ramai-ramai dapat berkumpul di dewan suasana dan semangat Merdeka itu makin dirasai ditambah apabila menyanyikan lagu 31 Ogos," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Gapam Baru Seli Tengga berkata, dia dan penduduk amat menghargai apabila ada pihak yang sudi hadir ke perkampungan itu bagi sama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.

Katanya, inisiatif diambil itu amat membantu menyemarakkan lagi semangat patriotik bukan hanya untuk golongan dewasa malah di peringkat kanak-kanak.

"Apabila ramai-ramai duduk berkumpul, menyanyi serta melaungkan Merdeka ia memberi suasana berbeza dapat menzahirkan semangat patriotik dan cintakan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 4:44 PM