Md Din (tengah) bersemangat berarak bersama-sama Rozaidi (kanan) dan anak kariah Kampung Solok Air Budi, Durian Daun, Masjid Tanah meraikan Hari Kebangsaan. FOTO HASSAN OMAR
Md Din (tengah) bersemangat berarak bersama-sama Rozaidi (kanan) dan anak kariah Kampung Solok Air Budi, Durian Daun, Masjid Tanah meraikan Hari Kebangsaan. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Masjid Tanah: Meskipun usia menghampiri satu abad namun dua lelaki warga emas tetap bersemangat menyertai perarakan keliling kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kasih kepada tanah air.

Warga emas, Md Din Baba, 75, dan Hamid Hassan, 67, tidak mahu menjadikan faktor lanjut usia sebagai halangan untuk menyertai 150 penduduk Kampung Solok Air Budi, Durian Daun di sini, berarak sejauh dua kilometer (km) mengelilingi kampung pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat kampung tadi.

Biar tubuh dibasahi keringat dan lutut terasa sakit, Md Din dan adik iparnya, Hamid tetap bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik.

Program perarakan dan sukaneka itu dianjurkan Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Solok Air Budi yang dipengerusikan Rozaidi Jantan.

Md Din berkata, dia bersyukur masih diberikan kudrat tenaga untuk menyertai hari penuh gemilang itu.

"Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan saya kesihatan yang baik dan dapat berarak keliling kampung bersama-sama anak kariah yang lain untuk menzahirkan rasa cinta tanah air.

"Saya sudah melalui zaman sebelum merdeka dan semasa Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Ketika itu saya baharu berusia 10 tahun.

"Sekarang kita tidak lagi susah seperti dahulu, generasi sekarang menikmati pelbagai kesenangan. Ia tidak seperti ketika saya hidup pada zaman 1960-an hingga 1980-an yang serba serbi kekurangan," katanya.

Hamid berkata, ketika bertugas sebagai anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 1980-an, dia pernah beberapa kali hampir maut ketika bertempur dengan pengganas komunis.

"Antara operasi pernah disertai adalah di hutan Gubir, Kedah dan Bentong, Pahang. Ketika itu pengganas komunis melarikan diri kerana tidak mahu anggota pasukan mereka berkurangan akibat mati atau cedera.

"Semangat tentera masih membara dalam jiwa saya dan saya tidak mahu ketinggalan meraikan Hari Kebangsaan Ke-65 kerana negara ini adalah tumpah darah kita," katanya.

Sementara itu, Rozaidi berkata, selain berarak, peserta turut berpeluang menyertai sukaneka dan memenangi hadiah cabutan bertuah.

"Alhamdulillah, kami merancang program ini sejak dua bulan lalu dan anak kampung di sini dan yang merantau di negeri orang, memberikan sumbangan kewangan bagi menjayakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 4:00 PM