MUHAMMAD Zahin  (tengah) menunjukkan basikalnya.
MUHAMMAD Zahin (tengah) menunjukkan basikalnya.
HM Digital

Permaisuri: “Saya ambil peluang cuti sekolah minggu lalu untuk hias basikal menggunakan 14 Jalur Gemilang pelbagai saiz,” kata Muhammad Zahin Aisar Fauzi, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Fikri di sini.

Murid tahun tiga itu berkata, dia tidak menyangka akan muncul sebagai juara dalam pertandingan basikal berhias sempena Program Merdeka Komuniti Peringkat Daerah Setiu 2018 kerana kali pertama menyertainya.

Menurutnya, dia gunakan modal sebanyak RM100 untuk beli peralatan menghias basikal termasuk meletakkan bunga di hadapan bagi menambah seri.

Katanya, idea menghias basikal itu dibincangkan bersama ibu, Ros Azimah Sulong untuk memastikan basikalnya nampak lain berbanding yang lain.

Zahin Aisar yang juga anak sulung daripada lapan beradik anak pasangan guru itu berhasrat untuk terus menyertai pertandingan seperti itu pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Muafakat Komuniti (MKM) Kampung Fikri Wee Beng Hai berkata, program seperti itu adalah kali pertama diadakan di situ dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Setiu, MKM, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan SK Kampung Fikri.

“Dianggarkan lebih 400 yang hadir menyertai pelbagai aktiviti antaranya sukaneka, perarakan 16 bot dihias Jalur Gemilang, pertandingan basikal berhias dan pertunjukan baju tema Jalur Gemilang.

“Kami berhasrat meneruskan sambutan seperti ini pada masa akan datang dengan mempelbagaikan aktiviti dan fokus kepada golongan sasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:57 AM