ANTARA barangan kemas yang dirampas selepas suspek ditahan polis. FOTO ihsan Polis
ANTARA barangan kemas yang dirampas selepas suspek ditahan polis. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Bahana akibat berhutang dengan along kerana ketagih berjudi menyebabkan seorang wanita sanggup mencuri barangan kemas milik ibu saudaranya di rumah mangsa di Taman Ampang Mewah, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu saudaranya berusia 64 tahun mendapati mangga pada bekas besi yang mengandungi barang kemas miliknya dirosakkan pada 4 petang Ahad lalu.

Menurutnya, selepas pemeriksaan, dia dapati beberapa barang kemas miliknya tiada menyebabkan kerugian keseluruhan RM77,500.

"Susulan itu, pada 7 malam semalam, sepasukan pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ampang menahan suspek berusia 40 tahun yang tidak bekerja di tepi Jalan Besar Taman Dagang.

"Suspek yang juga anak saudara mangsa ditangkap bersama sebahagian barang kemas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengakui mencuri emas terbabit.

"Wang dari hasil curi terbabit habis digunakan untuk membayar hutang along kerana bermain judi dan perbelanjaan harian.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 12:03 PM