GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Hanya kerana ingin menyelesaikan hutang tertunggak, berjudi dan membeli dadah menyebabkan seorang menantu tergamak mencuri barangan kemas ibu mentuanya.

Malah suspek berusia 26 tahun itu tergamak menukar rantai leher emas kepada palsu menyebabkan mangsa kerugian RM30,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada jam 3.30 pagi, 11 Februari lalu, wanita berusia 56 tahun itu ketika berada di rumahnya di Taman Pandan Mesra, di sini, mendapati barang kemas yang diletakkan di almari laci dalam bilik tidurnya hilang.

Menurutnya, wanita itu mendapati gelang tangan emas miliknya tiada manakala rantai leher emas miliknya ditukar kepada emas palsu.

"Susulan itu, polis menahan suspek yang tidak bekerja di kawasan Taman Pandan Mesra jam 6.30 petang, 12 Februari lalu.

"Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek pertama itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 38 tahun pada 14 Februari lalu, jam lebih kurang 8.45 malam.

"Suspek lelaki kedua itu bekerja sebagai tukang masak di kawasan Sungai Buloh, Selangor yang berperanan sebagai pembeli barang kemas itu," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati tangkapan pertama mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah manakala tangkapan kedua tidak mempunyai rekod lampau jenayah.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua dua tangkapan dapati tangkapan pertama positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala tangkapan kedua positif dadah jenis kanabis.

"Suspek direman antara 13 hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, motif kejadian adalah disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:01 PM