GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Pura-pura mahu melihat dan mencuba barangan kemas menjadi taktik pasangan kekasih yang memperdaya pekerja kedai emas di Jalan Mamanda, di sini, sebelum mencuri gelang bernilai RM618.

Dalam kejadian jam 5.40 petang Sabtu lalu, pekerja wanita berusia 25 tahun itu didatangi pasangan kekasih untuk membeli cincin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek wanita berusia 26 tahun itu pada mulanya meminta pekerja terbabit membawa keluar tiga bentuk cincin yang diletakkan atas dulang pameran sambil dia mencuba salah satu gelang.

Menurutnya, pasangan terbabit kemudian bersetuju membeli sebentuk cincin dengan harga RM308.

"Mereka cuba buat pembayaran secara pindahan wang tetapi pihak syarikat tidak menerima sebarang bayaran.

"Selepas itu pasangan terbabit tidak jadi membeli cincin berkenaan kerana pembayaran tidak boleh diterima dan beredar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, selepas itu, pekerja terbabit sedar satu utas gelang tangan yang dicuba suspek hilang disyaki curi.

"Susulan itu pada jam 8.30 malam tadi, polis menahan lelaki berusia 35 tahun bekerja sebagai penghantar barang dan wanita itu di Bandar Saujana Putra.

"Polis merampas beberapa barang kes iaitu tiga telefon bimbit pelbagai jenama, dua helai seluar warna coklat, sepasang kasut, Perodua Myvi berserta kunci, seutas rantai tangan, sebuah topi dan sehelai t-shirt warna putih," katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati modus operandi kedua-dua suspek menyasarkan kedai emas.

"Suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas suspek pertama dan kedua positif dadah jenis Morphine, Opiate dan Benzo," katanya.

Katanya, mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 2:56 PM