GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Berang gajinya sebagai guru sambilan di sebuat pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini, tidak dibayar menyebabkan seorang lelaki sanggup mencuri lima mesin projektor bernilai RM13,000.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 35 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

Pekerja pusat tuisyen itu memaklumkan kepada pengetua mereka mengenai kehilangan projektor terbabit pada jam 10 pagi kelmarin dan mengesyaki suspek yang melakukannya.

Malah perbuatan suspek mencuri barangan terbabit turut disedari beberapa pelajar yang ketika itu berada di dalam kelas.

Suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu mendakwa tidak menerima bayaran gaji hampir RM3,000 menyebabkan dia bertindak melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat kes curi projektor di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek semalam.

Menurutnya, turut dirampas barang-barang kes yang dicuri suspek.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 4:43 PM