IDRIS Ahmad. FOTO arkib NSTP
IDRIS Ahmad. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bukit Gantang: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mengakui peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat terbatas berhubung pemantauan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti berkaitan ajaran sesat termasuk pengamalan tarikat.

Beliau berkata, dalam banyak situasi berkaitan laporan mengenai ajaran sesat serta disyaki menyeleweng, JAKIM hanya berperanan sebagai penyelaras dengan sumber kuasa bagi mengambil tindakan mengenainya tergalas kepada pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, masyarakat perlu faham bahawa dalam isu ajaran sesat dan tarikat yang boleh bertindak dan mempunyai sumber kuasa adalah pihak berkuasa agama negeri kerana JAKIM hanya penyelaras kepada pihak berkenaan.

"Contohnya kalau ada orang melaporkan pada JAKIM sesuatu yang berlaku di Perak maka kita akan hubungi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Kalau di Selangor, kita akan hubungi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program Jualan Amal di Markaz PAS Sungai Tinggi, Terong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya mengenai peranan dimainkan oleh JAKIM terhadap kemunculan beberapa kumpulan tarikat yang mula timbul sejak kebelakangan ini yang pada masa ini dilihat cuba mengelirukan umat Islam dari ajaran sebenar.

Katanya lagi, selain penyelarasan JAKIM turut bertindak menangani ancaman ajaran menyeleweng melalui beberapa medium lain seperti khutbah, kursus yang diberikan kepada guru takmir, serta forum terbukan membabitkan kehadiran ramai.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya bijak dalam menilai guru mengajar agama yang hendak diikuti khususnya dengan mengenal pasti serta mengambil sikap gemar membandingkan jika merasa terdapat amalan atau ritual pelik yang diajarkan.

"Memang kalau hendak mengaji, belajar agama kena ada guru, namun jangan mengaji dengan guru yang meragukan kerana akan menimbulkan masalah. Elakkan jika pengajian dibuat di tempat tersembunyi seperti dalam hutan dan sebagainya.

"Kalau di rumah guru itu sendiri pun tidak ikut syariat, bercampur gaul lelaki dan wanita, bersalaman antara lelaki dan wanita (bukan mahram), takkan guru sebegitu pun kita hendak ikut?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 2:42 PM