Idris Ahmad ketika sidang media semasa menghadiri Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Idris Ahmad ketika sidang media semasa menghadiri Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa bertindak proaktif menyekat sebarang kegiatan ajaran sesat dan bertentangan dengan syariat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan masyarakat Islam melaporkan kepada Jakim dan JAIN mengenai sebarang kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akui terdapat banyak ajaran sesat cuba dibuat dan dibawa pihak tertentu termasuk dari luar negara melalui laman sosial.

"Jakim akan bertindak dan akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Jika dibawa secara fizikal oleh individu seperti berlaku di Perak sebelum ini, Jakim akan memberitahu kepada JAIN. Jakim tiada kuasa, kami hanya salurkan maklumat kepada JAIN untuk diambil tindakan.

"Bagaimanapun, setakat ini isu ajaran sesat terkawal kerana Jakim dan JAIN sentiasa memantau dan bertindak tegas menyekat sebarang kegiatan yang bertentangan dengan syariat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan 2022 di Masjid Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 6:27 PM