Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tindakan seorang tukang rumah warga Pakistan mencuri motosikal majikannya kerana berang gajinya tidak dibayar menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Umar Farook, 22, mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu pada sebutan kes hari ini.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 16 Julai lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Umar didakwa dengan niat curang mencuri motosikal Honda FS 150 bernilai RM8,000 kepunyaan Mohd Zamri Sahari, 34, di tapak projek Jalan Bukit Duyong, pada 30 Mei lalu, kira-kira jam 5.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa'ari yang menjalankan pendakwaan kes memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung ibunya yang berusia di Pakistan dengan mengirim wang setiap bulan hasil bekerja kontrak membuat rumah.

Mengikut fakta kes, pengadu mendapati motosikalnya hilang pada hari kejadian semasa berada di Jalan Bukit Duyong.

Dia kemudian dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa ia digunakan oleh seorang lelaki Pakistan semasa ketiadaannya.

Tertuduh kemudian ditahan ketika menunggang motosikal itu di sekatan jalan raya di Karak pada 16 Julai lalu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang berkait laporan polis di Balai Polis Kandang, dekat sini dan tertuduh mengakui mencuri kerana gajinya melebihi RM5,000 tidak dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 3:30 PM
WARGA Pakistan dipenjara 12 bulan atas kesalahan mencuri motosikal majikannya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
WARGA Pakistan dipenjara 12 bulan atas kesalahan mencuri motosikal majikannya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad