MOHD Nor Azizi dihukum penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah mencuri duit tabung masjid. FOTO NSTP
MOHD Nor Azizi dihukum penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah mencuri duit tabung masjid. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri duit tabung Masjid Jamek Medan Klebang Restu Chemor, berjumlah RM93 Sabtu lalu.

Mohd Nor Azizi Mohd Nasir, 24, yang juga penganggur didakwa atas kesalahan mencuri dan memiliki harta curi tabung masjid berkenaan, pada 8.30 malam 1 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), EP Sittan.

Mohd Nor Azizi mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dan faham akan sebab serta akibat pengakuan yang dibuat.

Majistret Umzarul An-Nur kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 1 Julai 2019.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh disedari dua jemaah yang kemudian membawanya kepada pengerusi masjid dan melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan ke atas tertuduh menjumpai wang kertas yang tersimpan dalam poket bajunya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 3:04 PM