Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Sepasang suami isteri terpaksa menjadikan kawasan bawah jejambat di Jalan Bagan Dalam, di sini sebagai tempat berteduh selepas tidak lagi mampu menyewa berikutan kehilangan pekerjaan sejak beberapa bulan lalu.

Malah, pasangan muda yang ingin dikenali sebagai Siti dan Mohd masing-masing berusia lingkungan 20-an itu tidak mahu menyusahkan keluarga mereka yang turut terhimpit dengan masalah kewangan.

Siti berkata, dia dan suaminya kehilangan kerja selepas pandemik Covid-19 melanda hingga memaksa mereka keluar dari rumah yang didiami dekat Jalan Bagan Luar, di sini kerana tidak mampu membayar sewa.

"Sejak itu, kehidupan kami seperti inilah (terumbang ambing) dan menjadikan kawasan bawah jejambat sebagai tempat untuk tidur serta beristirehat.

"Kami bukan dari keluarga yang senang dan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa maka kami memilih hidup seperti ini.

"Tambahan pula, ramai yang prihatin kerap turun menghulurkan sumbangan makanan dan itu sudah cukup bagi kami untuk mengisi perut yang lapar," katanya.

SKY Residence Prai menghulurkan bantuan makanan kepada gelandangan. FOTO Mikail Ong
SKY Residence Prai menghulurkan bantuan makanan kepada gelandangan. FOTO Mikail Ong

Terdahulu, pasangan suami isteri berkenaan menjadi antara 300 penerima bantuan makanan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'The Ascott Merdeka'.

Siti berkata, dia dan suaminya bersyukur dengan keprihatinan masyarakat terhadap golongan gelandangan yang tidak bernasib baik.

"Ramai yang senasib seperti kami sejak Covid-19 dan keadaan ekonomi juga kurang baik kerana agak sukar dapat kerja.

"Bila ada kerja lokasinya pula jauh apatah lagi kami tidak mempunyai kenderaan. Namun, saya harap dapat peroleh kerja di sekitar kawasan ini untuk ubah nasib kami," katanya

Sementara itu, Pengurus Residensi Sky Residence by The Ascott, Lee Boon Kae, berkata pihaknya menyedari bahawa pandemik Covid-19 yang melanda lebih dua tahun lalu menyebabkan ramai golongan terjejas dari segi pendapatan.

"Dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas, pihak syarikat memperuntukkan RM1,000 setiap bulan untuk membantu golongan kurang bernasib baik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 3:06 PM