Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan menambah lima lagi Kaunter Baitulmal bagi memudahkan masyarakat di negeri ini membayar zakat ketika penularan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sejak Kaunter Baituilmal dilancarkan pada Mei tahun lalu, pihaknya menempatkan kaunter itu di lima jajahan iaitu Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Katanya, Kaunter Baitulmal itu memudahkan pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka di masjid bandar dan tidak lagi perlu datang ke pejabat MAIK di Lundang untuk membayar zakat.

TAN Sri Tengku Mohamad hadir ketika Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tahun 2020. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAN Sri Tengku Mohamad hadir ketika Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tahun 2020. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Pembukaan kaunter ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah pungutan kutipan zakat.

"Penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyumbang, pewakaf dan pembayar zakat yang terus menjadikan MAIK sebagai agensi pemegang amanah untuk menguruskan infa' mereka," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan MAIK Bagi Tahun 2020 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:16 PM