GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


KEDEGILAN sebuah farmasi di Kuching, Sarawak menjual topeng hidung dan mulut topeng melebihi harga kawalan membawa padah apabila didenda RM10,000 oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Farmasi berkenaan dikesan menjual topeng N95 pada harga RM7 berbanding harga kawalan yang ditetapkan RM6.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek berkata, pihaknya membuat pemeriksaan mengejut di farmasi berkenaan pada jam 3.50 petang semalam, selepas mendapat aduan daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan itu mendapati, farmasi berkenaan menjual topeng N95 itu lebih mahal RM1 berbanding harga yang ditetapkan.

“Berikutan itu, tindakan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain harga mengikut harga maksimum runcit yang ditetapkan dan farmasi berkenaan dikenakan denda RM10,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hanizam berkata, peniaga menaikkan harga semua jenis topeng hidung dan mulut boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Syarikat yang sabit kesalahan pula boleh didenda sehinga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah ketika situasi orang ramai memakainya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan dari wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mengesan peniaga yang menjual topeng muka melebihi harga kawalan supaya menyalurkan aduan kepada Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak di Kuching (082 466012), Sri Aman (082-323836), Sarikei (084-657751), Sibu (084-335622), Kapit (084-799678), Mukah (085-412862), Bintulu (086-332176), Miri (085-412862) dan Limbang serta Lawas (085-217414).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:08 PM