Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan) menyampaikan peralatan mewarna batik sempena Program Pengembangan Ilmu Cakna Kraf 2022 kepada wakil penerima hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan) menyampaikan peralatan mewarna batik sempena Program Pengembangan Ilmu Cakna Kraf 2022 kepada wakil penerima hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Simunjan: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui program Studio Kraf Kreatif telah memilih dua sekolah di daerah ini untuk dijadikan sebagai projek perintis bagi aktiviti mewarna batik canting sebagai usaha memupuk minat kanak-kanak agar mencintai seni kraf.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai permulaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Simunjan dan Sekolah Kebangsaan Abang Man Simunjan diberikan sejumlah 200 kit batik canting untuk program ini.

"Program ini diadakan berterusan dan kita mahu menggalakkan sekolah-sekolah mewujudkan persatuan kraf dan perkara ini kita akan bincang dengan Kementerian Pendidikan.

"Setakat ini, kita baru bermula dengan memberikan kit supaya pelajar dapat membiasakan diri. Kita nampak kreativiti mereka dari segi pemilihan warna," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Motac, pemberian kit itu bertujuan memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan teknik, bahan dan proses asas dalam penghasilan produk kraf tempatan di peringkat akar umbi khususnya bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Nancy berkata, adalah menjadi harapannya agar pelajar-pelajar sekolah akan mencintai produk kraf Malaysia dan seterusnya menjadi pelapis dalam industri kraf pada masa akan datang.

Pada majlis itu, sejumlah 26 wakil usahawan daripada 1,097 yang layak menerima insentif Pemulih di negeri ini hadir menerima bantuan yang berjumlah RM1,500.

Insentif Pemulih Industri Kraf telah memanfaatkan sejumlah 6,000 usahawan di seluruh Malaysia dan merupakan satu daripada usaha Motac untuk membantu usahawan serta penggiat industri seni dan budaya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 2:56 PM