ROSLAN (tiga, kiri) merasmikan FKU 2023 di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.
ROSLAN (tiga, kiri) merasmikan FKU 2023 di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.
Zuliaty Zulkiffli


FESTIVAL Kraf Utara (FKU) 2023 berlangsung selama 10 hari membabitkan 60 usahawan kraf dari 10 negeri di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman pada Sabtu lalu.

Program itu disertai usahawan dari negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah dengan sasaran seramai 15,000 pengunjung.

Dalam program itu, Roslan berkata, beliau yakin sasaran nilai jualan keseluruhan ini dapat dicapai dengan adanya penawaran pelbagai produk kraf Malaysia yang baharu, menarik dan berkualiti seperti produk segmen pakaian, aksesori, hiasan dalaman serta hadiah dan cenderamata kepada pengunjung.

Beliau berkata, terdapat pelbagai jenis batik dipromosikan 30 usahawan batik canting, batik blok, batik skrin mahupun batik alternatif yang menggunakan bahan tanah liat atau dikenali batik clay.

"FKU 2023 amat bermakna kerana MOTAC melihat FKU satu platform simulasi urus niaga yang berkenaan untuk komuniti menimba pengalaman dalam dunia perniagaan sebenar .

ROSLAN (tengah) berbangga dengan batek yang dihasilkan.
ROSLAN (tengah) berbangga dengan batek yang dihasilkan.

"Komuniti yang dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) ini membabitkan sebanyak 35 projek dari negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak dengan penyertaan seramai 492 orang komuniti merangkumi bidang tekstil, hasil rimba, seramik, hasil logam dan aneka kraf," katanya.

Roslan berkata, industri kraf terus menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh setahun ini dan sehingga 31 Ogos lalu, pencapaian nilai jualan kraf meningkat sebanyak 20 peratus atau RM223.6 juta berbanding RM186.4 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, pencapaian bilangan usahawan kraf bagi tempoh yang sama meningkat iaitu seramai 6,679 berbanding tahun lalu seramai 6,484.

"Di Perlis, terdapat seramai 77 usahawan mengusahakan produk kraf dari bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf dengan nilai jualan dijana sebanyak RM1.67 juta sehingga 31 Ogos," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli berkata, FKU 2023 bertemakan 'Ini Kraf Malaysia' adalah platform untuk menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan, masyarakat terhadap produk kraf Malaysia

Beliau berkata, reka bentuk produk kraf yang ditawarkan lebih inovasi dan dinaiki dengan sentuhan elemen kontemporari dan tradisional yang sesuai diguna pakai sebagai gaya hidup serta membudayakan seni kraf dalam kehidupan seharian.

"Penganjuran FKU 2023 yang berlangsung selama 10 hari ini dimeriahkan dengan aktiviti Jualan Kraf, Demonstrasi Kraf, Interaktif Kraf, Pameran Kraf Baharu, Pameran Jom Masuk IKN, Persembahan Kebudayaan dan Galakan Pengunjung.

ROSLAN (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta FKU 2023.
ROSLAN (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta FKU 2023.

"Selain itu, 11 peserta menerima Sijil Penyertaan Peserta Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Tanah Liat yang diadakan pada 18 hingga 20 September di Dewan

Kayang, Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

"Makmal ini adalah sebahagian daripada aktiviti di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang bertujuan untuk membuka peluang kepada komuniti mempelajari dan meningkatkan kemahiran dalam penghasilan produk kraf seterusnya memasarkannya bagi menjaga pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:00 AM