ANTARA produk batik yang dipamerkan di Festival Kraf@Perak 2022.
ANTARA produk batik yang dipamerkan di Festival Kraf@Perak 2022.
Noor Hidayah Tanzizi

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia menyalurkan bantuan kepada 6,000 usahawan di seluruh negara melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Inisiatif itu bermula April lalu dalam usaha membantu pemain industri berdaftar dengan Kraftangan Malaysia yang terjejas pasca Covid-19, sekali gus merancakkan kembali industri kraf negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, setiap usahawan yang berdaftar layak menerima RM1,500 seorang dengan 300 usahawan kraf dari Perak.

"Ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi suntikan kepada usahawan yang terkesan sejak pandemik lalu, ia boleh dikatakan sebagai pemula atau perangsang kepada usahawan terbabit.

"Inisiatif ini sangat membantu sama ada wang itu digunakan sebagai yuran program, suntikan modal (tambahan) atau untuk (membeli) bahan mentah bagi menambah pengeluaran produk mereka," katanya pada Majlis Perasmian Festival Kraf@Perak 2022 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Mohd Yusri Mohd Yusoff yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Saraya Arbi.

MOHD Yusri (kiri) meninjau keunikan kraf di gerai jualan.
MOHD Yusri (kiri) meninjau keunikan kraf di gerai jualan.

Festival Kraf@Perak 2022 dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak bermula 25 Ogos lalu hingga 5 September depan.

Ia dianjurkan melalui inisiatif Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi membantu penggiat industri dari pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran acara pelancongan, seni dan budaya yang berimpak tinggi.

Pada majlis itu, Kraftangan Malaysia menerima Sijil Pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) bagi tiga produk kraf di Perak iaitu labu sayong, tekat benang emas dan tembikar pulau tiga.

Selain itu, Kraftangan Malaysia turut menerima Sijil Pemfailan Paten Sebatian Penghalang Warna Batik Untuk Industri Tekstil (Batik Clay) hasil dan kajian inovasi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak dan seramai 21 wakil usahawan kraf negeri ini hadir menerima insentif Pemulih pada majlis berkenaan.

Abdul Halim Ali berkata, penganjuran festival itu mengetengahkan dan mengangkat produk kraf tempatan seperti batik clay atau batik tanah liat, sekali gus dapat membantu penggiat industri dan menjana ekonomi dengan program secara fizikal.

Mengulas lanjut mengenai batik tanah liat, Abdul Halim berkata, produk seramik dari tanah liat yang sinonim dengan negeri ini diinovasikan penggunaan bahan tanah liat sebagai alternatif kepada bahan lilin untuk penghalang warna dalam proses membatik.

Inovasi batik tanah liat ini memberi satu indentiti batik malaysia yang unik terutama di negeri Perak khususnya. Maklumat berkaitan batik tanah liat ini ada dipamerkan bagi tatapan umum.

MOHD Yusri (kiri) melawat gerai jualan usahawan kraf pada Majlis Perasmian Festival Kraf@Perak 2022 di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.
MOHD Yusri (kiri) melawat gerai jualan usahawan kraf pada Majlis Perasmian Festival Kraf@Perak 2022 di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

"Batik clay ini adalah produk identiti Perak dan ia sesuatu yang baharu. Biasanya orang tahu apabila sebut batik saja itu dari pantai timur, jadi kami mahu kembangkan batik ini.

"Inovasi ini satu perkembangan yang positif bagi meningkatkan dan memperbanyakkan lagi produk kraf tempatan yang pelbagai, malah tahun lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Hari Batik Malaysia adalah pada 3 Disember, jadi kami mahu lihat batik bukan hanya ada di satu tempat, tetapi seluruh negara dengan identiti tersendiri," katanya.

Menurut Abdul Halim, penggunaan bahan tanah liat sebagai bahan alternatif penghalang warna bagi penghasilan batik yang lebih selamat, murah dan mudah dikendalikan.

"Sebelum ini kita guna lilin sebagai penghalang warna, tapi di negeri ini kami menggunakan 'clay' sebagai penghalang warna di mana ia lebih mesra alam.

"Perak sudah membangunkan seramai lapan usahawan kraf dan tiga komuniti yang menghasilkan produk daripada batik clay dan kami yakin ia akan berkembang dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri yang mewakili Saraya dalam ucapan perasmiannya berkata, festival itu mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyrakat yang menjurus ke arah negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, ia selari dengan teras enam iaitu Penjanaan Ekonomi Kebudayaan di bawah Dasar Kebudayaan Negara (Daken) bagi memacu ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Maju, Rakyat Berbudaya.'

MOHD Yusri (belakang lapan dari kiri) bersama wakil usahawan kraf Perak yang menerima insentif Pemulih.
MOHD Yusri (belakang lapan dari kiri) bersama wakil usahawan kraf Perak yang menerima insentif Pemulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:01 AM