NANCY Shukri ketika berucap pada sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan, seni dan budaya Perlis dan Kedah. FOTO Hamzah Osman.
NANCY Shukri ketika berucap pada sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan, seni dan budaya Perlis dan Kedah. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


AKTIVITI kebudayaan dan kesenian negara dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM85.06 juta akibat penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia susulan pembatalan dan penangguhan program seni dan budaya dirancang pelbagai pihak.

"Seramai 22,000 penggiat dan pemain industri mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM47 juta, manakala RM33 juta lagi membabitkan produksi pementasan teater oleh Istana Budaya.

"Kerugian kutipan tiket dan jualan muzium, galeri dan lain-lain pula mencecah RM5.06 juta," katanya ketika berucap pada sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan, seni dan budaya Perlis dan Kedah di Langkawi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni & Budaya, Belia dan Sukan; Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Ketua Setiausaha Motac, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata, bagi membantu kelangsungan hidup penggiat bidang itu, Motac menyalurkan bantuan kewangan kepada 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seni dan budaya.

"Sehingga kini, sejumlah RM318,000 sudah disalurkan diberikan kepada NGO terbabit dan kementerian akan terus membantu aktivis berkenaan menerusi Tabung Amanah Warisan Seni dan Budaya (KWAKKPS).

"Bagi membantu pengusaha kraf memasarkan produk pula, platform digital seperti e-Kraf Bazar dan GoGallery.my turut diwujudkan dan sehingga kini ia memberi manfaat kepada 7,085 pengusaha seni dan kraf," katanya.

Beliau berkata, sejumlah peruntukan turut disediakan kepada agensi berkaitan untuk mengadakan pameran dan lawatan maya seperti muzium dan galeri awam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 1:54 PM