Muhamaad Razis Ismail


INDUSTRI kraf merekodkan jualan pelbagai produk kraf di dalam mahupun luar negara yang begitu memberangsangkan sehingga RM519.74 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada siapa menduga, kerancakan itu sedikit tergugat akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia sekali gus mengakibatkan hampir semua sektor terjejas termasuk industri kraf negara.

Banyak perancangan yang dijalankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) untuk mempromosi dan memasarkan produk bagi merancakkan lagi industri kraftangan pada tahun ini terpaksa dibatalkan atau ditunda demi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, industri kraf berdepan situasi mencabar yang tidak terjangka akibat Covid-19.

"Pada tahun lalu, seramai 5,816 usahawan kraf mendaftar melalui Kraftangan Malaysia dengan nilai jualan kraf lebih RM500 juta berjaya dicatatkan.

"Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku pada tahun ini apabila sehingga Oktober lalu, nilai jualan kraf yang dicatatkan hanya RM198.7 juta berbanding RM415.9 juta yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.

Menyedari keadaan itu, beliau berkata, MOTAC dan Kraftangan Malaysia mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu usahawan kraf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini.

"Antara langkah terawal yang dilaksanakan adalah mengoptimumkan penggunaan platform digital secara dalam talian. Sejak 8 April lalu, Kraftangan Malaysia memperkenalkan e-Kraf Bazar menerusi aplikasi media sosial kumpulan Facebook untuk membantu usahawan kraf mempromosi dan memasarkan produk kraf secara percuma.

"Kita turut membangunkan platform e-marketplace iaitu MYCRAFTSHOPPE yang bukan sahaja menawarkan pelbagai produk kraf malah pengguna juga boleh mendapat maklumat berkaitan ekosistem industri kraf. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi CraftOnTheGo (COTG) untuk mendapatkan maklumat mengenai usahawan kraf dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Kraftangan Malaysia turut bekerjasama dengan Google Malaysia untuk aplikasi Google Arts & Culture di bawah carian Kuala Lumpur Craft Museum dengan paparan 100 koleksi foto produk kraf dengan keunikan autentik berserta keterangannya sekali.

Mengulas lanjut mengenai MYCRAFTSHOPPE, platform digital ini mampu menonjolkan produk kraf memiliki kualiti tinggi di mata dunia.

"Di sini orang ramai boleh melihat setiap produk kraf yang memiliki daya tarikan tersendiri dari seluruh negeri yang dipamerkan di platform ini.

"Sehingga kini, platform ini menghimpunkan seramai 300 pemain industri yang terdiri daripada usahawan kraf, pembekal dan komuniti kraf dengan produk yang ditawarkan melebihi 2,000 unit. Jumlah ini akan ditambah dari semasa ke semasa,

" katanya.

Nancy berkata, untuk memastikan penggiat kraf tidak ketinggalan, Kraftangan Malaysia sentiasa mencari jalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka.

"Belanjawan 2021 yang baharu sahaja dibentangkan pada 6 November lalu adalah pembentangan bajet yang menyeluruh dan inklusif kepada semua penggiat industri di bawah sektor kebudayaan dan juga pelancongan.

"Kami di MOTAC akan sentiasa mencari inisiatif yang terbaik di bawah program latihan secara 'reskilling' dan 'upskilling' melalui latihan e-dagang mengenai pemasaran dan penjualan produk pelancongan, seni dan budaya secara dalam talian.

"MOTAC melalui Kraftangan Malaysia juga komited dengan tanggungjawab dan tugasan merancakkan industri pelancongan, seni dan budaya tugasan mereka dengan sentiasa turun padang untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sektor pelancongan, seni dan budaya khususnya produk kraf agar diperbaiki dengan menggunakan bahan atau medium baharu.

"Sebagai contoh kita berjaya hasilkan batik menggunakan bahan linut atau sagu sebagai bahan penghalang warna (menggantikan lilin) bagi menghasilkan kesan corak kain batik. Selain penghasilan tekstil dengan teknik eco-print dan pewarnaan asli iaitu penggunaan dedaun hutan di program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf di Ba'kelalan, Lawas Sarawak.

"Seramai 20 peserta terdiri daripada komuniti golongan muda di kampung ini berjaya dilahirkan selepas diberi tunjuk ajar mengenai penghasilan batik dengan teknik dan teknologi baharu sekali gus menghasilkan produk baharu termasuk pelitup muka," katanya.

Mengulas lanjut, Kraftangan Malaysia turut aktif mencari pelapis baharu dalam kalangan golongan muda untuk terbabit dalam industri kraf.

"Saya saksikan sendiri di Kampung Semera, Batang Sadong, Sarawak, keistimewaan Adiguru Kraf iaitu puan Ngot Bi berusia 80-an yang mampu menghasilkan produk kraftangan dengan kemahiran yang unik iaitu produk kraf Anyaman Tikar Begerang.

KEPELBAGAIAN produk yang dihasilkan daripada batik ikat celup.
KEPELBAGAIAN produk yang dihasilkan daripada batik ikat celup.

"Kemahiran seperti ini tidak mudah dicari dan akan pupus, jadi pihak Kraftangan Malaysia berusaha untuk pastikan kemahiran ini dapat diwarisi oleh golongan muda," katanya.

Jelasnya, peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM3.9 juta banyak membantu usahawan kraf yang terkesan akibat pandemik ini menerusi pelbagai program kemahiran, program Karnival Malaysiaku dan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA.

"Antaranya, menerusi Program Pembangunan Perantisan Kemahiran (PPPK), kita melatih tenaga kerja baharu terdiri daripada belia, penganggur, dan individu yang terkesan dengan menawarkan peluang pekerjaan bersama usahawan kraf terpilih,

" katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga mampu menarik golongan belia untuk mempelajari kemahiran khusus dalam bidang kraf apabila Kraftangan Malaysia telah berjaya melahirkan 7,322 graduan dalam bidang tersebut sejak tahun 2003 menerusi Institut Kraf Negara (IKN).

"Selain itu saya menggalakkan ahli parlimen untuk kenal pasti kelebihan dan keistimewaan di kawasan masing-masing untuk menghasilkan pelbagai produk kraf baharu.

"Pihak Kraftangan Malaysia akan memberi latihan dan tunjuk ajar sekali gus mampu menarik ramai golongan muda apabila melihat potensi produk kraf yang mampu menjana ekonomi," katanya.

Baru-baru ini, pereka Kraftangan Malaysia dan usahawan kraf menerima Malaysia Good Design Award (MGDA) 2019 anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia.

Beliau berkata, anugerah ini, memberi inspirasi dan semangat kepada pihaknya untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan untuk terus mengembangkan industri kraf negara.

"Saya berterima kasih kepada kakitangan Kraftangan Malaysia kerana memiliki kegigihan, kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk melihat industri kraf terus berjaya.

"Mereka memiliki semangat menghasilkan pelbagai produk baharu dengan manfaatkan sumber sedia ada di satu-satu kawasan sebelum dikongsikan dengan usahawan kraf," katanya.

Justeru itu, beliau berharap dalam mendepani situasi senario mencabar, setiap pihak termasuk usahawan kraf manfaatkan platform digital yang disediakan untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf masing-masing.

"Setiap pihak perlu mempunyai kesedaran mengenai kualiti produk tempatan dan menghasilkan kepelbagaian produk kraf untuk memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

"Saya turut menyeru rakyat Malaysia, untuk bersama-sama membantu usahawan kraf secara domestik bukan sahaja dengan membeli produk yang dihasilkan malah membantu mempromosikan produk ini," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:01 AM
(Dari kiri) IBRAHIM, Nancy dan Rubiah menunjukkan produk kraf tempatan.
(Dari kiri) IBRAHIM, Nancy dan Rubiah menunjukkan produk kraf tempatan.