AZLINA menyiapkan tempahan baju kurung pelanggannya.
AZLINA menyiapkan tempahan baju kurung pelanggannya.
Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Walaupun harga barangan jahitan meningkat, kebanyakan tukang jahit di Lembah Klang masih menetapkan harga antara RM70 hingga RM500 untuk sepasang baju kurung dan baju Melayu.

Bagaimanapun, harga yang ditetapkan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis fabrik, rekaan, aksesori dan lokasi keberadaan seseorang tukang jahit.

Bagi tukang jahit, Mohamad Thaqib Asbar, 29, dia menerima tempahan lebih 500 pasang baju untuk Aidilfitri ini.

Tukang jahit yang mempunyai pengalaman selama sembilan tahun itu mengakui tidak menang tangan bagi menyiapkan tempahan yang diterima sejak awal tahun lagi.

"Harga yang ditetapkan untuk sehelai baju kurung bermula daripada RM150 ke atas, manakala baju Melayu cekak musang RM170 ke atas.

"Harga yang diletakkan bergantung kepada jenis rekaan, fabrik dan aksesorinya.

"Ada juga baju yang ditempah pelanggan boleh melebihi RM400," katanya.

Sementara, Azlina Ab Aziz, 43, berkata, dia mengakui harga barangan jahitan meningkat tetapi tidak menjejaskan perbelanjaannya.

"Kenaikan harga tidaklah terlalu mendadak, setakat RM1 ke RM2 sahaja, saya masih mampu untuk menanggung kos untuk menyiapkan tempahan.

"Harga baju kurung biasa adalah RM70 sahaja bergantung kepada jenis kain.

"Pakaian lelaki lebih mahal sebab pembuatannya yang sukar, jadi harganya juga melebihi RM100," katanya.

Sementara itu, Maheran Deris, 46, pula meletakkan harga mengikut bajet pelanggannya.

"Ada pelanggan yang tidak kisah untuk harga mahal, yang penting kualiti baju terjamin.

"Kebanyakan pelanggan saya meletakkan harga sendiri mengikut bajet yang mereka mampu.

"Contohnya, pelanggan beritahu bajet mereka setakat RM300 sahaja, jadi saya akan buat tempahan baju itu mengikut permintaan mereka," katanya yang juga seorang pensyarah.

Berbeza pula, tukang jahit di bahagian utara Semenanjung yang meletakkan harga lebih murah iaitu antara RM30 hingga RM75 untuk sepasang baju.

Sabariah Mat Taib, 53, yang mempunyai pengalaman 15 tahun berkata, harga tempahan baju Melayu adalah RM75, manakala baju kurung antara RM30 hingga RM35 sepasang.

"Kenaikan harga barang tidak terlalu ketara, tetapi orang sekarang lebih suka beli baju secara dalam talian, jadi tempahan baju itu sedikit berkurangan.

"Kos untuk menjahit tempahan baju pula tidak banyak, anggarannya tidak kurang RM50, jadi tidak terasa sangata dengan kenaikan harga barangan jahitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 3:31 PM