Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan 4,053 jawatan tetap bagi pegawai perubatan, farmasi dan pergigian kontrak tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penambahan jawatan secara tetap itu adalah paling tinggi sejak dasar kontrak dilaksanakan pada 2016.

"Kita menerima 8,672 permohonan awal jawatan tetap dan yang hadir temuduga ialah 8,052 calon.

"Jumlah yang diperakukan berjaya ialah 4,053 calon membabitkan 3,215 pegawai perubatan, pegawai pergigian (438) dan pegawai farmasi (400) serta calon simpanan (225)," katanya pada sidang media selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 bertemakan Keperluan Untuk Pembaharuan Penjagaan Kesihatan' di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, KKM juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenai dasar sama ada calon tidak berjaya boleh memohon semula atau peluang kerjaya dan latihan di peringkat kepakaran dan sub kepakaran serta elaun dan sebagainya.

"Perkara ini akan kita ambil kira apa lagi yang kita dapat laksanakan supaya mereka rasa keputusan kekal di KKM walaupun tak dapat jawatan tetap adalah berbaloi," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga sedang meneliti sama ada perlu mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, namun ia bukanlah fokus utama buat masa ini.

"Kalau tanya kita tentulah kita perlukan Suruhanjaya sendiri jadi kita tidak tertakluk kepada dasar biasa di bawah SPA.

"Tetapi, bila minta atau lulus bolehdibincangkan dalam rangka-rangka Kertas Putih Kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 8:45 PM