GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pelantikan 8,686 pegawai perubatan, farmasi dan pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertaraf kontrak kepada jawatan tetap mulai tahun ini sehingga 2025 memberikan kelegaan dan sinar baharu kepada golongan itu.

Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal berkata, pihaknya yang memperjuangkan isu itu sejak setahun lalu menyambut baik pengumuman berkenaan.

"Satu perkembangan positif dan baik untuk doktor kontrak.

 "Cuma kita tengoklah dari semasa ke semasa sama ada apa yang diumumkan betul akan dilaksanakan atau tidak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam mengenai keputusan Jemaah Menteri menawarkan 4,186 jawatan tetap kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi bagi tahun ini dan beberapa lagi tahun berikutnya.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan KKM dalam mencari penyelesaian kepada isu berkenaan yang sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.

"Kita berhubung dan cuba mewujudkan kerjasama (berunding menyelesaikan isu jawatan kontrak).

"Semalam pun, kita mengadakan sesi perbincangan townhall dengan YB KJ (Khairy Jamaluddin) dan KKM sendiri.

"Kita tengoklah janji ini ditunaikan ke tidak," katanya.

Semalam dalam pengumuman sama, Khairy berkata, sekurang-kurangnya 1,500 lagi jawatan tetap diberikan setiap tahun mulai tahun depan sehingga 2025 serta 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan setiap tahun bermula 2023.

Untuk rekod, sebanyak 1,118 pegawai perubatan, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi dilantik secara tetap sepanjang tempoh 2016 hingga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 5:05 PM