GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipukul oleh seorang wanita yang dikatakan berlaku di sebuah tadika di Kepong di sini, seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit pada jam 4.56 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian disedari wanita berusia 33 tahun itu selepas melihat dua rakaman video masing-masing berdurasi lima saat yang tular di Facebook melihatkan anak lelakinya dipukul seorang wanita yang juga pengasuh di tadika berkenaan.

"Dalam hantaran itu jelas menunjukkan kanak-kanak terbabit menangis selepas dipukul dengan kasar menggunakan tangan dan dipaksa makan sesuatu.

"Pengadu mengesahkan bahawa kanak-kanak di dalam video itu adalah anak lelakinya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beh berkata, semakan polis mendapati kejadian berlaku pada bulan Mei lalu.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau turut menasihati individu yang mengetahui atau mengesyaki kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk didera dan diabai supaya melaporkan kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 11:11 PM