BOOTH SADC di MAHA 2022. FOTO Rohanis Shukri
BOOTH SADC di MAHA 2022. FOTO Rohanis Shukri
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi pembiayaan kepada 100 orang usahawan perintis menerusi program Usahawan Skim Pemborong Sejuk Beku Perak SADC.

Melalui pembiayaan berkenaan, kesemua usahawan berkenaan akan dibekalkan dengan kemudahan satu unit peti sejuk beku dan pelbagai produk daging sejuk beku keluaran Eurofresh Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Perak SADC.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, peruntukan itu merangkumi kemudahan peti sejuk beku dan produk daging sejuk beku.

Menurutnya, inisiatif digerakkan Perak SADC untuk mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan menjadi platform kepada usahawan meningkatkan pendapatan.

"Program ini dilihat sebagai penyumbang bagi mengetengahkan produk sejuk beku keluaran Eurofresh yang mana setiap usahawan akan bertindak sebagai ejen memasarkan produk daging sejuk beku keluaran syarikat berkenaan.

"Kaedah atau pendekatan itu juga dilihat sebagai salah satu cara terbaik dalam usaha mempromosi dan memperkenalkan daging sejuk beku keluaran tempatan selain mampu meminimumkan kebergantungan masyarakat terhadap daging import," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Skim Pemborong Sejuk Beku Perak SADC.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC, Mustafa Abdul Wahab dan Pengarah Eksekutif Eurofresh Sdn Bhd, Jasmeen Dhillon.

Turut diadakan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perak SADC (pembiaya), Eurofresh Sdn Bhd (pembekal produk) serta Syarikat Dango Bukit Sdn Bhd yang merupakan pembimbing kepada program ini.

Zainol berkata, buat permulaan 100 usahawan B40 terpilih menerima pembiayaan RM3,000 seorang dan mereka dijangka mampu memperoleh pendapatan hingga RM1,500 sebulan menerusi program itu.

Katanya, Perak SADC akan terus memantau dan memberi khidmat nasihat kepada semua usahawan terbabit bagi memastikan perniagaan dijalankan terus berdaya saing serta menjadi penyumbang dalam mengukuhkan lagi bidang sekuriti makanan seperti diuar-arkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Jasmeen berkata, sebagai sebuah anak syarikat Perak SADC menjadi tanggungjawab pihaknya menyediakan pasaran perniagaan kepada anak tempatan.

"Objektif utama program Freezer adalah memastikan pasaran halal daging dicapai dengan meluas memandangkan kita turut berdepan dengan isu kartel daging dan juga produk import. Kita akan pastikan setiap daging yang diimport sama ada dari India, Australia, Brazil mahupun tempatan adalah menepati standard yang ditetapkan.

"Selain itu, kita juga mahu menyediakan pasaran yang boleh meminimumkan harga kerana melalui program Freezer, kita tidak akan berurusan dengan orang tengah atau ejen bagi memastikan harga diterima peniaga dan pemberi tidak meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 1:12 PM