TENGKU Ahmad Badli Shah (kiri) menandatangani plak sempena pemeteraian kerjasama dengan Perak SADC.
TENGKU Ahmad Badli Shah (kiri) menandatangani plak sempena pemeteraian kerjasama dengan Perak SADC.

Kuala Lumpur: Agrobank memeterai satu perjanjian strategik bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) untuk menggalakkan pembabitan lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor pertanian menerusi Program Ladang Untuk Rakyat bagi tujuan penanaman komoditi getah, kelapa sawit dan durian.

Segala urusan pembangunan dan operasi akan dikendalikan Perak SADC dan pemilihan peserta akan dilakukan kerajaan Perak.

Program pembiayaan yang ditawarkan ini berjumlah antara RM5,000 sehingga RM50,000 dengan kadar asas berian pembiayaan +0 peratus.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama ini bertujuan untuk menjana pendapatan tambahan dalam sektor penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit dan durian, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi kumpulan berpendapatan rendah.

"Agrobank akan berperanan sebagai pembiaya kepada program ini manakala Perak SADC pula akan bertanggungjawab untuk menyedia kemudahan ladang, bimbingan, penyelengaraan dan penjualan komoditi.

"Bagi memudahkan Peserta Ladang Untuk Rakyat, pendapatan hasil jualan mereka akan dibayar terus kepada Agrobank secara bulanan manakala lebihan hasil jualan akan diagihkan kepada semua peserta secara dividen tahunan," katanya.

Menurutnya, melalui penawaran daripada program ini yang memfokuskan kepada aspek 3A iaitu Aksesibiliti (Accessibility), Ketersediaan (Availability) dan Berpatutan (Affordability), Agrobank komited untuk terus memperkasakan komuniti agro .menerusi program pembiayaan termasuklah menerusi kerjasama bersama Perak SADC.

Program Ladang Untuk Rakyat bersama Perak SADC ini buat pertama kalinya diperkenalkan Agrobank pada 2016 menerusi tanaman kelapa sawit dan getah yang telah membantu lebih 1,450 rakyat Perak.

Kini, kerjasama strategik ini sudah dikembangkan lagi dengan tanaman durian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:17 AM