Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Pelaksanaan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menumpukan kawasan jelapang padi sedia ada, menyediakan pengurusan lebih cekap bermatlamat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi serta beras negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, konsep itu adalah menerusi pembabitan syarikat peneraju bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah sendiri selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini membabitkan persetujuan bersama antara pesawah atau pengusaha dengan syarikat peneraju berteraskan kepada pendekatan sewaan serta pertanian kontrak yang mana hak pesawah masih kekal dan tidak terjejas.

"SMART SBB ini sedang dalam pelaksanaan permulaan. Sepanjang musim 2021, ia sudah mencatatkan manfaatnya yang lebih baik menerusi pengurusan sawah di bawah SMART SBB dengan cara konvensional yang dilakukan oleh pesawah sendiri.

"Jadi kalau dikatakan ia gagal saya katakan bahawa ia menunjukkan manfaat yang lebih baik menerusi SMART SBB dengan pengurusan yang lebih efisyen seperti pengurusan yang dibuat oleh syarikat swasta yang membabitkan diri dalam penanaman padi di negara kita.

"SMART SBB dibuat dalam keadaan jelapang padi sedia ada. Kita tumpukan di kawasan jelapang padi yang ada infrastruktur asas yang sedia ada bagi merealisasikan konsep dan kebaikan dalam kalangan pesawah kita. Di luar kawasan jelapang padi tentu ada kekurangan kemudahan, saliran, perparitan dan sebagainya. Yang itu akan ditangani secara berasingan oleh kementerian. Kita akan mulakan SMART SBB," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai adakah projek SMART SBB pernah mengalami kegagalan kerana terdapat masalah perparitan di sawah yang tidak diselenggarakan dengan baik.

Ronald berkata, setakat ini terdapat penyertaan 19 syarikat peneraju menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, menerusi SMART SBB, pesawah atau pengusaha tidak perlu mengeluarkan wang atau berhutang dengan orang tengah untuk menguruskan dana kerana modal pengurusan serta penanaman ditanggung sepenuhnya oleh syarikat peneraju.

Justeru, beliau tidak nampak mengapa pesawah perlu menolak satu konsep baharu yang menguntungkan mereka meskipun penyertaan bukan paksaan tetapi lebih kepada sukarela.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai punca kemerosotan pengeluaran padi negara, Ronald berkata, ia membabitkan pelbagai faktor.

Secara umumnya, beliau berkata, industri padi beras negara terdedah dengan ancaman perubahan cuaca, penyakit, bencana, kemarau termasuk pengurusan yang tidak cekap.

Katanya, hasil daripada pelaksanaan SMART SBB sepanjang tahun lalu menampakkan pengurusan yang lebih baik apabila hasil padi boleh ditingkatkan.

Katanya, ia adalah faktor yang menentukan hasil pengeluaran padi di ladang di negara kita.

"Pada musim lalu, memang direkodkan beberapa kawasan di Selangor dijangkiti penyakit.

"Antara penyakit adalah ulat lipat daun, penyakit hawar, penyakit reput tangkai, bena perang, ulat pengorek batang dan pelbagai lagi.

"Ini adalah penyakit yang didapati menyerang kawasan padi di Selangor, Perak dan beberapa kawasan lain.

"Jadi langkah yang diambil kementerian adalah untuk mengawal perebakan atau penularan penyakit ini ke kawasan yang lebih luas.Ia termasuk kerjasama antara kementerian dan juga kerajaan negeri bagi membendung serangan penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 12:31 PM