KEADAAN rumah Muhammad Zahari Isa yang terbakar berpunca dari dapur di RKT Kesedar Paloh 1. FOTO Ramli Ibrahim
KEADAAN rumah Muhammad Zahari Isa yang terbakar berpunca dari dapur di RKT Kesedar Paloh 1. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


“BAGAIMANALAH kami mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti kerana rumah pusaka ditinggalkan arwah bapa terbakar,” kata mangsa kebakaran Muhammad Zahari Isa, 38.

Dalam kejadian pda 5.45 petang semalam, Muhammad Zahari dan lima ahli keluarga lain tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 1, Gua Musang.

Katanya, orang ramai yang cuba membantu gagal menyelamatkan semua harta bendanya kerana api merebak dengan cepat.

“Saya dan ahli keluarga berada di rumah apabila tiba-tiba kami melihat api sedang membakar dinding dapur sebelum merebak dengan cepat ke bahagian lain.

“Ketika itu saya hanya sempat menyelamatkan empat anaknya daripada terperangkap dalam rumah yang terbakar itu,” katanya.

Katanya, anggota bomba tiba sejurus selepas dimaklumkan berhubung kejadian.

“Apapun kami kehilangan harta benda, tetapi bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.58 petang sebelum 11 anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Zawawi Yusoff bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Perjalanan mengambil masa berikutan lokasi agak jauh dari balai bomba dan keadaan api masih marak sebaik tiba pada 6.37 petang.

“Anggota bomba berjaya mengawal api dalam tempoh 15 minit daripada merebak ke beberapa rumah penduduk lain,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:27 PM