Penduduk menggunakan Jambatan Bailey yang dibina sementara di Kampung Iboi untuk berulang alik setiap hari ke tempat kerja. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Penduduk menggunakan Jambatan Bailey yang dibina sementara di Kampung Iboi untuk berulang alik setiap hari ke tempat kerja. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


Baling: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Iboi dan sekitarnya meminta kerajaan membina jambatan baharu yang lebih selamat dan kukuh untuk kegunaan pengguna.

Ini kerana penduduk mendakwa jambatan Bailey yang dibina sementara susulan tragedi kepala air dan banjir 4 Julai lalu, tidak mampu dilalui kenderaan besar, sekali gus menyulitkan rutin penduduk setiap hari.

Malah, penduduk mendakwa jambatan itu tidak selamat digunakan terutama ketika hujan lebat dan banjir.

Jambatan berkenaan digunakan penduduk dari Kampung Iboi, Masjid Iboi, Bukit Iboi, Padang Empang, Lata Chelak dan Tok Saba.

Seorang penduduk, Othman Ismail, 58, berkata, jambatan itu menjadi laluan utama bagi penduduk untuk ke kebun, sekolah dan bandar.

Bagaimanapun, katanya, jambatan sementara itu akan ditutup apabila hujan lebat dan air deras mencecah jambatan kerana tidak selamat untuk dilalui.

"Hujan lebat dan arus deras sehingga mencecah jambatan itu menyebabkan semua kenderaan tidak berani melaluinya kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Khamis lalu ketika banjir kali kedua jambatan Bailey itu terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa apabila air mencecah lantai dan arus kuat," katanya yang juga mangsa kejadian kepala air dan banjir.

Beliau bersama enam ahli keluarganya kini berpindah dan tinggal di rumah sewa berdekatan kampung itu yang lebih selamat.

Seorang lagi penduduk, Azidi Aziz, 44, dari Kampung Padang Empang berkata, dia yang bekerja sebagai penoreh getah terpaksa menggunakan laluan itu untuk ke kebun setiap hari.

"Kalau hujan lebat rasanya tidak selamat dilalui dengan lantai yang rendah dan bimbang struktur tidak kukuh akan dibawa arus yang deras.

"Air naik sehingga paras lantai dan bimbang akan runtuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 1:04 PM