Wang tunai RM5,000, jam tangan dan Ipad dirampas susulan penahanan di kawasan Damansara Damai, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Wang tunai RM5,000, jam tangan dan Ipad dirampas susulan penahanan di kawasan Damansara Damai, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Kegiatan lelaki mengedar dadah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu berakhir apabila ditahan bersama pelbagai dadah bernilai RM23,991, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 48 tahun ditahan dalam kereta Honda Accord di Damansara Damai, di sini, pada 1.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui sebuah beg galas milik suspek mengandungi sembilan peket plastik lutsinar disyaki syabu (130 gram) dan 10 biji pil Erimin 5 (lima gram).

"Berdasarkan maklumat, polis menyerbu sebuah rumah milik suspek di Sutera Damansara pada 8.28 pagi tadi dan merampas 20 peket plastik lutsinar disyaki syabu (105 gram) dan tiga peket lutsinar disyaki ekstasi (5.67 gram).

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam pengedaran dadah kira-kira tiga tahun lalu, dan aktif di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, saringan ujian air kencing awal mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan mempunyai empat kes dadah dan empat kes jenayah.

Katanya, polis turut merampas alat penimbang, botol kaca diubah suai untuk menghisap dadah, kereta bernilai RM10,000, wang tunai RM5,000, jam tangan dan tablet.

"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:41 PM