GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merekodkan 1,945 kes jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) yang majoritinya membabitkan sekolah berasrama di seluruh negeri antara 31 Mei hingga 25 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jangkitan itu adalah membabitkan 25 kluster iaitu 23 kluster sekolah dan masing-masing sebuah institusi pendidikan dan pusat pemulihan.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kluster itu, sebanyak tujuh adalah kluster baharu yang dikesan mula merebak bagi tempoh bermula 30 Jun hingga 25 Julai.

"Antara kluster baharu ini ialah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa Sungai Petani, Akademi Sains Pendang serta MRSM Baling.

"Jumlah kes tertinggi ialah di MRSM Langkawi dengan 321 kes direkodkan dan diikuti MRSM Pendang dengan sejumlah 161 kes direkodkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Mohd Hayati menasihatkan agar prosedur penjagaan kesihatan dipatuhi dan pengasingan murid yang bergejala dilakukan.

Katanya, penyakit berjangkit ILI sering berlaku di lokasi yang sesak seperti di asrama sekolah dan ia merebak melalui titisan dikeluarkan oleh individu dijangkiti.

"ILI disebabkan oleh virus dan ia merebak melalui individu yang dijangkiti apabila mereka bersin, batuk dan apabila mereka berkongsi barangan dengan orang lain.

"Pencegahan boleh dibuat melalui kuarantin, kebersihan, etika batuk dan bersin yang betul. Tiada rawatan khusus tetapi rawatan akan diberikan berdasarkan simptom," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 3:42 PM