SUNTIKAN vaksin percuma ILI mampu membantu komuniti khususnya mereka yang kurang berkemampuan. FOTO Arkib NSTP
SUNTIKAN vaksin percuma ILI mampu membantu komuniti khususnya mereka yang kurang berkemampuan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menawarkan suntikan vaksin percuma bagi Influenza-Like-Illness (ILI) khususnya di kawasan wabak bagi mengekang penularan penyakit itu dalam komuniti.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, suntikan percuma ini mampu membantu komuniti khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, influenza bukan satu wabak yang baharu dalam negara ini kerana ia sudah dikategorikan sebagai endemik sama seperti denggi.

"Kita mahu masyarakat dilindungi dengan meluas kerana influenza juga boleh membawa implikasi kesihatan yang serius seperti serangan otak dan sistem paru-paru jika tiada perlindungan.

"Influenza sudah lama dalam komuniti namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini fokus hanya pada Covid-19 namun kita harus sedar kesan wabak ini boleh bertukar serius jika dipandang remeh," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, penularan dalam kluster seperti sekolah berasrama perlu diberi perhatian agar penularan boleh dikawal sebaik mungkin.

Katanya, penyaringan lebih meluas mampu mengesan penyakit ini lebih awal seterusnya membantu agensi kesihatan mengambil langkah yang sesuai untuk mengekang wabak berkenaan.

"Simptom penyakit ini sama dengan Covid-19 iaitu demam, selesema, batuk dan sakit sendi menyebabkan orang ramai beranggapan mereka hanya mengalami sakit biasa tanpa sedar sudah dijangkiti influenza.

"Disebabkan itu, ada antara mereka tidak mengambil serius langkah pencegahan sehingga mengundang implikasi kepada kesihatan," katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata, kes ILI dalam negara masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah berasrama dikesan.

Khairy turut menjelaskan sekiranya kes penyakit terbabit sudah berada pada tahap membimbangkan setelah penilaian dibuat, maka langkah-langkah tertentu akan dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, kes seperti influenza ini kes biasa dan bermusim yang akan datang dan pergi, jadi tidak perlu terlalu risau.

Jumaat lalu, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesan peningkatan kes jangkitan ILI di institusi pendidikan, khususnya sekolah berasrama sejak dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 2:59 PM