GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah merekodkan enam kluster berkaitan pendidikan dengan tiga kluster baharu dilaporkan semalam, membabitkan seramai 253 individu positif Covid-19 setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo, berkata tiga kluster baharu itu adalah Kluster Dah Padang Halban, Kluster Dah Sungai Kob dan Kluster Dah Sungai Limau.

"Kluster Dah Halban membabitkan 25 kes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob pula membabitkan 37 kes di SMK Sungai Kob, Kulim.

"Manakala Kluster Dah Sungai Limau membabitkan seramai 27 warga Sekolah Menengah Agama Saadah Al-Diniyah Al-Islamiah, Yan yang positif Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Dr Othman turut memaklumkan, seramai sembilan lagi pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Dah Penyarom menjadikan keseluruhan kes di maktab itu adalah sebanyak 108.

Katanya, bagi Kluster Dah Jalan Pantai di SMK Kota Kuala Muda, Sungai Petani pula, tiada pertambahan dengan kes positif kekal 33 pelajar.

"Kelmarin (Selasa) juga terdapat Kluster Teluk Teduri membabitkan 23 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling.

"Majoriti yang positif adalah pelajar. Semua sekolah ini sudah diarah tutup seminggu dan ada yang lebih bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasiberkenaan," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai termasuk warga institusi pendidikan supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 10:21 AM