Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh lelaki warga Pakistan di sebuah kondominium dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, S Kumara Rao, 56, dan R Remesh, 45, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Qadir Muhamad, 35, di sebuah unit Bangunan Zenith Residence Corporate Park, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, di sini pada 8.48 malam, 11 Julai lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka tidak dibenar ikat jamin dan mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat lelaki dalam keadaan bogel selepas terjatuh dari tingkat 17 kondominium di Kelana Jaya, 12 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin dilaporkan berkata, polis memohon bantuan kedutaan berkaitan untuk mengenal pasti identiti mayat mangsa yang juga warga asing, selain mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek saling mengenali selepas berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:27 PM
R RAMESH dan S Kumara Rao didakwa atas tuduhan membunuh lelaki warga Pakistan di sebuah kondominium dua minggu lalu. FOTO Genes Gulitah
R RAMESH dan S Kumara Rao didakwa atas tuduhan membunuh lelaki warga Pakistan di sebuah kondominium dua minggu lalu. FOTO Genes Gulitah