GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tahap imuniti orang ramai sama ada secara semulajadi atau vaksin yang berkemungkinan sudah menurun antara penyebab angka kes harian baharu Covid-19 setakat semalam mencecah 5,230, iaitu tertinggi sepanjang tempoh seminggu ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, selain itu peningkatan kes juga disebabkan akibat mutasi virus asal.

"Pemantauan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dilihat semakin kurang diamalkan.

"Perkara ini memerlukan pemantauan yang berterusan dan sekiranya bergejala, lakukan ujian Covid-19 dan kuarantin kendiri," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peningkatan kes didorong oleh pelbagai faktor antaranya pembukaan semula sempadan, pengurangan SOP, pembukaan semula tempat kerja dan sekolah seperti biasa yang menyebabkan peningkatan jangkitan dan infeksi baru terjadi.

"Bagaimanapun, Malaysia adalah terlindung kerana vaksin populasi tinggi dan imuniti jangkitan natural juga baik.

"Penurunan kesan vaksin apabila antibodi menurun mungkin berlaku, maka untuk rakyat rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang tinggi komorbiditi perlu mengambil suntikan penggalak (booster) kedua," katanya.

Menurutnya, jangkitan yang semakin banyak terdiri daripada kes ringan kategori satu dan dua serta hanya beberapa saja kategori teruk dan kematian.

"Ini tidak akan seteruk gelombang pertama dan kedua yang pernah berlaku pada 2020 dan 2021 lalu.

"Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati akan kemunculan subvarian baharu terutama jenis VOC dan tidak mengambil mudah kerana risiko jangkitan masih ada," katanya.

Katanya, pemakaian pelitup muka, sanitasi masih perlu diteruskan untuk menurunkan risiko jangkitan.

"Jangkitan baru dijangka lebih berjangkit tetapi tidak semestinya makin virulens (makin parah) dari yang sedia ada.

"Malah, beberapa pakar luar negara berpendapat semakin endemik virus ini akan lebih mudah merebak dan hanya mengakibatkan gejala ringan melainkan beberapa golongan rentan yang perlu vaksin penggalak sekali lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 2:41 PM