PENUMPANG memakai pelitup muka sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Chennai, India. FOTO EPA.
PENUMPANG memakai pelitup muka sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Chennai, India. FOTO EPA.
AP

New Delhi: India mula melaksanakan ujian Covid-19 secara rawak kepada penumpang antarabangsa yang tiba di lapangan terbang negara itu.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya berkata, kerajaan masih belum bercadang menggantung penerbangan dari negara di mana kes baharu dilaporkan tinggi.

"Negeri perlu meningkatkan pengawasan untuk sebarang varian baharu Covid-19 dan menghantar sampel kes positif ke makmal penjujukan genom.

"Orang ramai juga perlu memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal bagi mengelak jangkitan," katanya mengumumkan peraturan baharu itu di Parlimen, semalam.

India melaporkan kes paling banyak di dunia sejak pandemik bermula dua tahun lalu, namun jangkitan menurun mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada awal tahun, negara itu melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka selepas kes Covid-19 menurun.

Ketika ini data Kementerian Kesihatan merekodkan kira-kira 3,400 kes yang masih aktif, namun peningkatan kes di China mendorong pakar kesihatan India mengeluarkan nasihat supaya orang ramai memakai pelitup muka dan mengambil dos penggalak.

Semalam, badan doktor terkemuka India, Persatuan Perubatan India merayu orang ramai memakai pelitup muka di semua tempat awam dan mendapatkan dos penggalak.

"Orang ramai juga dinasihatkan mengelak hadiri perhimpunan seperti perkahwinan, mesyuarat politik dan sosial dan perjalanan antarabangsa.

"Tidak perlu panik kerana setakat ini keadaan tidak membimbangkan. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya.

India yang mempunyai hampir 1.4 bilion populasi mendaftarkan lebih daripada 2.2 bilion dos vaksin Covid-19, namun hanya 27 peratus daripada penduduknya menerima dos penggalak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 11:07 AM