GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemberian dos penggalak kedua vaksin Covid-19 kepada individu 60 tahun ke bawah tanpa masalah kesihatan wajar bagi membendung penularan kes dalam komuniti.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah berkenaan boleh dipertimbangkan kerajaan ketika kes Covid-19 dalam negara masih belum reda dan menunjukkan trend peningkatan.

"Memberikan dos penggalak kedua kepada mereka berusia 60 tahun ke bawah dan tiada masalah kesihatan adalah satu cadangan yang baik.

"Mungkin ketika ini, tahap imuniti sudah semakin menurun.

"Tambahan lagi kes masih banyak dalam komuniti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas langkah Jawatankuasa Kerja Teknikal Untuk Vaksinasi sedang memperhalusi syor pemberian dos penggalak kedua vaksin Covid-19 bagi mereka yang berusia 60 tahun ke bawah tanpa masalah kesihatan.

Mengulas lanjut Dr Zainal berkata, buat masa ini langkah itu jika dilaksanakan paling berkesan untuk membendung penularan Covid-19.

"Selain pemberian dos penggalak kedua, orang ramai jangan leka dan perlu sentiasa memakai pelitup muka.

"Mereka yang bergejala pula perlu kuarantin kendiri dan menghindarkan diri ke tempat awam bagi menyekat penularan," katanya.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keputusan syor itu akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga mengesyorkan supaya dos penggalak bagi individu dengan gejala sederhana (severe immunocompromised) berusia 12 hingga 17 tahun dikategorikan semula sebagai dos ketiga dan menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi perlindungan optimum kepada kumpulan remaja berkenaan daripada risiko mendapat jangkitan Covid-19 dengan gejala teruk.

Dalam sidang media sama semalam, Khairy turut memaklumkan kemungkinan gelombang keempat Covid-19 akan melanda negara selepas pengesanan kehadiran subvarian Omicron BA.5 di Malaysia dan kes harian dijangka bertambah.

Sehubungan itu, Khairy meminta orang ramai yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak supaya segera berbuat demikian terutama mereka yang berisiko tinggi.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:18 AM