GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Polis menahan rakan kepada suri rumah yang disyaki membunuh suaminya dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan jam 10 malam tadi di kawasan Majidee di sini.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Menurutnya, lelaki berkenaan juga memiliki lima rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah, dua kes jenayah dan satu kes jenayah komersial.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dan suri rumah itu berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

"Kedua-dua suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga 22 Julai depan," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemukan mati di kediamannya dipercayai dipukul isterinya.

Mayat Lee Ming How, 44, ditemukan dalam keadaan terbaring.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.50 pagi di kediaman keluarga lelaki berkenaan yang turut dihuni isteri serta anaknya.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dipukul hingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 12:35 PM